KEADAAN jerebu yang semakin membimbangkan memaksa penganjur Para SUKMA Selangor 2026 menangguhkan empat acara yang dijadualkan berlangsung hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 169.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, pegawai serta semua pihak yang terlibat dalam pertandingan.
Katanya, perkara tersebut diputuskan selepas pihak penganjur menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan serta jawatankuasa khas teknikal yang memantau keadaan IPU dari semasa ke semasa.
“Keadaan itu memaksa pihak penganjur menangguhkan empat acara iaitu para olahraga di Stadium UiTM, para renang di Kompleks Akuatik Selangor, para memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) serta boling padang di Bayuemas, Klang,” katanya.
Najwan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 berkata, keputusan berkenaan akan dinilai semula berdasarkan perkembangan bacaan IPU di lokasi pertandingan.
“Pemakluman mengenai penangguhan dan bila acara akan dijalankan semula akan dibuat dari semasa ke semasa, bergantung kepada keadaan IPU di kawasan pertandingan,” katanya.
Saingan Para SUKMA Selangor 2026 bermula semalam dengan beberapa acara dipertandingkan pada sebelah pagi pada Ahad.
Antara acara yang dijadualkan berlangsung ialah para olahraga, powerlifting, para memanah, para badminton, boccia, ping pong, catur dan boling padang.
Penganjur turut menegaskan aspek keselamatan dan kesihatan peserta kekal menjadi keutamaan sepanjang temasya berkenaan.