JOHOR Darul Ta'zim (JDT) melakar satu lagi pencapaian luar biasa apabila rentetan tanpa kalah dalam saingan liga domestik mencecah 112 perlawanan, sekali gus mencipta rekod baharu dunia.
Pencapaian bersejarah itu dikongsi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerusi grafik yang dimuat naik menerusi Facebook Johor Southern Tiger, dengan rekod tersebut dicatatkan setakat 4 September lalu.
Iklan
Iklan
Rentetan 112 perlawanan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mengatasi rekod terdahulu milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang tidak tewas dalam 108 perlawanan liga dari 1989 hingga 1994.
Lebih membanggakan, pencapaian itu hadir ketika JDT terus mendominasi saingan domestik dengan mengekalkan kejuaraan Liga Super secara berterusan, selain membina jurang prestasi yang ketara berbanding pencabar mereka.
Rekod berkenaan turut menggambarkan tahap konsistensi Harimau Selatan yang bukan sahaja bergantung kepada kekuatan barisan pemain, malah disokong perancangan kelab secara menyeluruh membabitkan pengurusan, fasiliti, infrastruktur dan pembangunan pasukan.
Menerusi momentum yang masih berterusan, JDT kini berpeluang memperlebarkan lagi rekod tersebut dalam setiap perlawanan liga yang bakal diharungi, sekali gus meletakkan penanda aras baharu dalam sejarah bola sepak domestik.
Sekiranya rentetan itu terus dipertahankan, rekod 112 perlawanan tanpa kalah berpotensi menjadi antara pencapaian paling sukar untuk dicabar, bukan sahaja dalam saingan tempatan malah di pentas bola sepak dunia.