Isu DNAA Ahmad Zahid: DAP bukan lagi hipokrit tetapi 'penipu besar' - Ahmad Fadhli

Iklan
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Pas mendakwa pendirian DAP berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak konsisten dengan naratif politik yang dibawa parti itu.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rekod kenyataan dan tindakan beberapa pemimpin DAP sejak keputusan itu pada 2023 menunjukkan parti berkenaan tidak pernah mengambil tindakan tegas untuk menolak keputusan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pendirian DAP ketika ini dilihat berubah susulan perkembangan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Ketika Ahmad Zahid memastikan BN menjadi jambatan untuk DAP berada di Putrajaya, DNAA boleh ditelan. Bila Ahmad Zahid dan BN mula dilihat boleh menjadi jambatan kepada kerjasama dengan PN, DNAA tiba tiba menjadi persoalan prinsip," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Ahmad Fadhli turut mengkritik kenyataan Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh yang menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari sebagai tersilap dan tidak mengetahui pendirian parti itu.

Beliau mendakwa, adalah tidak wajar Ramkarpal mengajar Mardhiyyah mengenai sejarah sedangkan wakil rakyat itu hanya merujuk rekod yang ditulis DAP.

Iklan

"Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) menghormati keputusan mahkamah dan meminta penjelasan manakala Nga Kor Ming (Timbalan Pengerusi Kebangsaan) menegaskan DAP tetap menyokong kerajaan dan kemudian turun membantu UMNO di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

"Kalau persefahaman BN dan PN tidak muncul semula hari ini, saya sangat meragui DNAA Zahid akan tiba tiba menjadi begitu meresahkan DAP.

"Kerana rekod itulah yang membuktikan bahawa dalam isu DNAA Zahid, masalah DAP bukan sekadar hipokrasi, lebih buruk daripada itu ialah apabila mereka cuba meyakinkan rakyat bahawa mereka selama ini konsisten menentangnya," ujarnya lagi.

Tambah beliau, isu DNAA Presiden UMNO itu kini sudah menjadi sejarah dan bersifat akademik.

"Berbicara tentangnya setelah anda menerimanya selama beberapa tahun hanya mengesahkan bahawa anda ialah penipu besar," katanya.