Penunggang p-hailing maut motosikal terbabas sendiri, tiada kaitan rempit - Polis

Iklan
Motosikal mangsa yang maut akibat terbabas sendiri beberapa meter dari lokasi video tular aktiviti mat rempit berhampiran Melaka Sentral awal pagi Ahad.

MELAKA - Seorang penunggang p-hailing maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri sebelum melanggar pokok di pembahagi jalan di Lebuh AMJ Semabok menghala ke Bandar Melaka, awal pagi Ahad.

Mangsa, Muhammad Hakimin A Samah, 24, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, badan dan kaki.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kemalangan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan lumba haram atau rempit.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.30 pagi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kandang menghala ke Bandar Melaka.

Iklan

"Tiada saksi awam di lokasi kejadian dan tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan yang terlibat," katanya menerusi kenyataan.

Halim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Iklan

Ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, awal pagi Ahad tular video berdurasi 29 saat di Facebook memaparkan kegiatan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai terlibat dalam aktiviti mat rempit dan lumba haram di sekitar Melaka Sentral.

Situasi jalan utama malam minggu dikongsi pengguna media sosial.

Halim berkata, polis menerima aduan awam berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan sekitar jam 3.10 pagi.

Susulan aduan itu, katanya, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Melaka Tengah menyalurkan maklumat kepada pegawai bertugas dan mengarahkan elemen polis berhampiran untuk menjalankan kawalan serta pemantauan di lokasi.

"Dalam operasi penguatkuasaan berkenaan, polis telah membuat dua tangkapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan membahayakan.

"Polis turut membuat sitaan terhadap lapan motosikal sepanjang operasi yang dijalankan di sekitar daerah Melaka Tengah," katanya.

Katanya, secara keseluruhannya, sebanyak 97 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan.

Ujar beliau, polis mengambil kira peningkatan aktiviti serta penganjuran pelbagai acara di negeri Melaka yang menarik kehadiran orang luar, sekali gus menyumbang kepada pertambahan aliran trafik dan penggunaan motosikal di beberapa lokasi tumpuan.

"Polis Melaka Tengah akan terus mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan mat rempit selain memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan lumba haram, mat rempit atau sebarang kesalahan jalan raya diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui saluran yang disediakan," katanya.