KUALA SELANGOR - Keterbatasan fizikal dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan tidak menghalang seorang bapa membawa anak tunggalnya menyertai Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 sejauh 8 kilometer pada Ahad.
Mohd Arif A Rahim, 40, berkata, anaknya, Muhammad Adam Danish, 13, yang mengalami masalah pernafasan akibat Obstructive Sleep Apnea (OSA) teruja setiap kali diajak keluar menghadiri program atau acara.
Menurutnya, Muhammad Adam perlu menggunakan alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) sepanjang masa termasuk ketika tidur dan hanya ditanggalkan seketika ketika mandi.
"Apabila dapat keluar, jumpa kawan lain dan tengok orang ramai, dia nampak lebih ceria dan seronok, walaupun tidak boleh bercakap, kami nampak kegembiraan melalui reaksinya," katanya katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Kira-kira 4,500 peserta menyertai acara tahunan itu yang dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tiram Tanjong Karang sini bagi edisi keempat pada tahun ini.
Peserta yang menyertai pertandingan itu bukan sahaja mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, malah berpeluang menikmati panorama sawah padi, merasai makanan tradisional, menghayati budaya tempatan serta mengenali lebih dekat kehidupan masyarakat luar bandar di Tanjong Karang.
Mengulas lanjut, Mohd Arif berkata, anak lelakinya itu sebelum ini membesar seperti kanak-kanak lain dan tidak mempunyai masalah kesihatan serius, namun keadaan berubah selepas doktor melakukan pemeriksaan terhadap masalah pernafasannya.
"Doktor buat pemeriksaan dan mendapati saluran pernafasannya sudah sempit dan lembik menyebabkan Adam perlu dibantu alat ini.
"Doktor pun tidak dapat menjangkakan bila keadaan ini akan pulih dan memberitahu kemungkinan dia perlu menggunakan alat itu sepanjang hayat," tambah beliau.
Katanya, Muhammad Adam kini tidak bersekolah dan tidak sempat didaftarkan ke Program Pendidikan Khas (PDK) kerana keadaan kesihatannya.
"Dia memang tidak dibenarkan bersekolah dan sekarang bantuan yang kami terima adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk bantuan penjaga pesakit terlantar dan sakit kronik," ujarnya.
Mohd Arif berkata, meskipun pada awalnya sukar menerima keadaan anaknya, dia dan isteri, Hanisah Hamzah, 38, kini sudah terbiasa serta menerima ketentuan Ilahi.
"Dulu kalau nak bawa dia keluar atau balik kampung pun saya tidak berani kerana risau dengan keadaan dia.
"Lama-lama kami belajar menerima dan sekarang sudah biasa, namun apa yang penting, kami mahu dia dapat menikmati kehidupan dan melihat dunia luar," jelasnya.
Menurutnya, penyertaan dalam larian itu bukan kali pertama buat Muhammad Adam, malah tahun ini merupakan kali ketiga mereka menyertainya.
Mohd Arif bekerja sebagai mekanik kereta, manakala isterinya pula memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan Muhammad Adam.
Katanya, mereka perlu memastikan bekalan bateri alat bantuan pernafasan mencukupi setiap kali membawa Muhammad Adam keluar kerana baterinya mampu bertahan kira-kira lapan hingga sembilan jam.
"Di rumah, alat ini disambungkan kepada bekalan elektrik, tetapi apabila keluar kami perlu menggunakan bateri.
"Sebelum keluar, kami pastikan bateri mencukupi supaya dia sentiasa mendapat bantuan pernafasan," katanya.
Jelas Mohd Arif, meskipun rutin penjagaan Muhammad Adam mencabar, namun dia dan isteri tidak pernah menganggapnya sebagai beban.
"Kami akan jaga anak tunggal selagi ada nyawa dikandung badan, kami akan usahakan yang terbaik untuk dia," katanya.
Seorang lagi bapa, Muhammad Afifuddin Mohd Ali, 31, berkata, anak sulungnya, Muhammad Ammar Qayyim, 8, yang menghidap cerebral palsy sejak lahir dibawa menyertai larian itu supaya dapat merasai pengalaman baharu selain hanya berada di rumah.
Katanya, Muhammad Ammar mengalami masalah perkembangan fizikal dan mental akibat keadaan itu menyebabkan dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
"Kita tak tahu apa yang dia rasa, tetapi daripada perspektif kita sebagai ibu bapa, kita harapkan dia dapat pengalaman lain selain hanya duduk di rumah menonoton televisyen dan kipas.
"Jadi bila ada larian macam ini, kita ambil peluang bawa dia keluar berjalan-jalan, gelak, tidur, tapi paling penting dia dapat pengalaman baharu," katanya.
Pengarah Program Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0, Haniff Harun, 36, berkata, konsep larian di sawah padi itu diperkenalkan bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada pelari yang selama ini lebih sinonim dengan acara di kawasan bandar.
"Semua orang biasa berlari di bandar dengan pemandangan yang hampir sama, jadi saya mahu bawa sesuatu yang baharu termasuk pemandangan sawah padi yang mungkin tidak dapat dirasai ketika menyertai larian di bandar," jelasnya.
Haniff berkata, penganjuran itu turut diolah sebagai karnival tiga hari dua malam bagi memberi peluang kepada peserta menjadikan penyertaan mereka sebagai percutian bersama keluarga.
"Kita fikir apabila mereka datang ke sini, apa tujuan dan produk yang boleh kita tawarkan kepada mereka.
"Larian ini menjadi kemuncak kepada karnival, manakala sepanjang tiga hari dua malam itu mereka boleh menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan," katanya.
Menurutnya, antara pengisian karnival termasuk wayang pacak, pertandingan mewarna, futsal bawah 12 tahun serta sesi bual bicara bersama pendakwah.
Haniff berkata, penganjuran yang berlangsung dalam suasana bulan kemerdekaan turut menyaksikan peserta tampil dengan pakaian bertemakan patriotik termasuk kebaya, selain pihaknya menyediakan hadiah bagi kategori pakaian terbaik.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, laluan tahun ini menampilkan 14 ‘checkpoint’, dengan setiap satu menawarkan pengalaman berbeza.
"Ada ‘checkpoint’ yang menghidangkan makanan tradisional untuk dinikmati peserta, manakala elemen permainan tradisional pula membawa mereka mengimbau kembali nostalgia permainan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat suatu ketika dulu.
"Gabungan elemen itu menjadikan acara ini lebih daripada sekadar acara larian. Dalam erti kata lain, peserta bukan sekadar mengira kilometer yang sudah dilalui, tetapi turut mengumpul pengalaman di sepanjang perjalanan," tambah beliau.
Menurut beliau, acara larian itu turut membawa mesej keterangkuman apabila disertai komuniti pelari yang terdiri daripada anak-anak istimewa.
"Penyertaan mereka memperlihatkan bagaimana sukan dan gaya hidup sihat mampu menjadi ruang yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun keupayaan.
"Kehadiran komuniti pelari anak istimewa bukan sahaja menambah warna kepada acara, malah mengangkat nilai inklusiviti dan semangat kebersamaan yang menjadi antara elemen penting penganjuran," jelas beliau.