KOTA TINGGI – Bunyi televisyen yang dipasang terlalu kuat dipercayai menjadi punca perselisihan faham sebelum seorang isteri ditetak suaminya menggunakan parang di Taman Desa Sejahtera di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa yang berusia lingkungan 70-an mengalami luka kecil kurang satu sentimeter pada tangan kanannya selepas ditetak suspek.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian membabitkan seorang wanita warga emas tempatan dalam keadaan berdarah akibat ditetak suaminya.
“Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang juga suami mangsa berusia lingkungan 70-an.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham selepas mangsa memasang televisyen dengan kuat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah parang.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan berada dalam keadaan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,"ujarnya.