ISKANDAR PUTERI- Operasi pembenihan awan diteruskan di Sarawak bagi membantu menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), terutama di Kuching dan Sri Aman yang masih berada pada tahap sangat tidak sihat, pada pagi Ahad.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan di Serian yang diisytiharkan darurat pada Sabtu pula menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan IPU semakin menurun.
“Sempena perayaan Hari Malaysia di Kuching, kita berharap keadaan jerebu dengan adanya operasi pembenihan awan dapat menurunkan tahap indeks pencemaran udara di negeri Sarawak, khususnya.
“Kita juga mendapat nasihat daripada MetMalaysia supaya pembenihan awan ini dilakukan mengikut laluan angin yang telah saya sebutkan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini pada Ahad.
Berdasarkan bacaan pada jam 9 pagi tadi, Kuching merekodkan IPU 235, manakala Sri Aman 214, kedua-duanya pada tahap sangat tidak sihat.
Serian pula merekodkan IPU 184, menunjukkan penurunan berbanding bacaan sebelumnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, operasi pembenihan awan di seluruh Sarawak sedang dilaksanakan sehingga Isnin ini bagi membantu mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak pada Jumaat susulan krisis jerebu tahap berbahaya.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.