PALAPES, Wataniah membentuk mahasiswa

Iklan
Nota Kerjasama ATM-KPT ditandatangani oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, yang mewakili ATM dan Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman, mewakili KPT di majlis di UniMAP, Perlis pada 3 September 2026.

ADA sesuatu yang semakin jelas dalam landskap pendidikan tinggi hari ini di mana kecemerlangan mahasiswa tidak lagi boleh diukur hanya melalui keputusan akademik, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) atau sehelai ijazah.

Pencapaian akademik tetap penting tetapi negara memerlukan lebih daripada graduan yang menguasai pengetahuan dan mempunyai kelayakan profesional.

Iklan
Iklan

Negara memerlukan generasi muda yang berdisiplin, tahan diuji, mampu memimpin, bekerja dalam pasukan dan memahami tanggungjawab kepada masyarakat serta negara.

Dalam konteks inilah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan penglibatan mahasiswa dalam Angkatan Sukarela, termasuk Askar Wataniah, wajar dilihat daripada perspektif yang lebih besar.

Iklan

PALAPES bukan sekadar aktiviti kokurikulum, kawad kaki, latihan medan atau istiadat pentauliahan. Ia sebenarnya merupakan salah satu wadah strategik yang mampu membentuk karakter, jati diri, kepimpinan dan rasa tanggungjawab mahasiswa.

Gabungan ini menjadikan mereka bukan sahaja calon pegawai simpanan, tetapi juga modal insan yang mempunyai nilai besar kepada negara.

Iklan

Sebab itu sudah tiba masanya kita mengubah cara melihat PALAPES. Di sebalik uniform dan latihan terdapat proses pembentukan manusia yang tidak semestinya diperoleh sepenuhnya melalui pembelajaran di bilik kuliah.

Mahasiswa belajar mematuhi arahan, mengurus masa, menghadapi tekanan, membuat keputusan, bertanggungjawab terhadap pasukan dan bangkit semula apabila berdepan cabaran.

Nilai pendidikan seperti ini sangat dekat dengan gagasan kemenjadian mahasiswa. Universiti tidak seharusnya sekadar menghasilkan graduan yang tahu mencari pekerjaan, tetapi manusia yang tahu mengurus diri, memimpin orang lain dan bertindak dengan matang dalam keadaan sukar.

Pengalaman PALAPES memberikan ruang sebenar untuk melatih sifat-sifat tersebut dalam situasi yang menuntut disiplin dan komitmen.

Atas sebab itu, kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar kerjasama antara institusi.

Kerjasama antara ATM dan JPT merupakan langkah tepat untuk memperkasakan PALAPES dan Wataniah dengan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada pengalaman yang membentuk karakter mahasiswa.

Nota Kerjasama antara ATM dan JPT yang dimeterai pada 3 September 2026 meletakkan penglibatan mahasiswa dalam Angkatan Sukarela sebagai sesuatu yang turut memberikan nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa.

Kerjasama ini menghubungkan agenda pendidikan tinggi dengan agenda ketahanan dan keselamatan negara.

Pendekatan tersebut penting kerana wajah pertahanan moden sudah berubah. Ancaman hari ini tidak lagi hanya berbentuk peperangan konvensional, tetapi merangkumi serangan siber, manipulasi maklumat, peperangan hibrid, kecerdasan buatan, data raya, dron dan peperangan kognitif.

Keselamatan negara juga semakin berkait dengan perubahan iklim, keselamatan makanan dan tenaga, gangguan rantaian bekalan, tekanan ekonomi serta persaingan kuasa besar.

Perubahan ini membawa satu implikasi besar di mana pertahanan negara tidak boleh lagi bergantung hanya kepada kekuatan fizikal atau aset ketenteraan.

Negara memerlukan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi, adaptif dan mampu menguasai teknologi serta cabaran baharu. Universiti dengan itu menjadi sebahagian daripada ekosistem pertahanan nasional, bukan institusi yang terpisah daripadanya.

Mahasiswa daripada pelbagai disiplin sebenarnya mempunyai tempat dalam ekosistem ini. Pertahanan moden memerlukan bakat dalam AI, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan perisian, robotik, teknologi dron, kriptografi, aeroangkasa, bioteknologi dan perubatan pertahanan.

Malah, bidang komunikasi, psikologi, undang-undang, ekonomi dan sains sosial juga semakin relevan dalam menangani ancaman yang bersifat kompleks.

Dalam hal ini, konsep “3-i” yang diketengahkan kepada pegawai kadet PALAPES sangat menarik, iaitu ilmu, idea dan inspirasi.

Ilmu menjadikan mahasiswa kompeten, idea menjadikan mereka kreatif dan inovatif, manakala inspirasi menjadikan mereka mampu mempengaruhi masyarakat ke arah pemikiran yang matang dan patriotik.

Tiga unsur ini menjadikan PALAPES lebih daripada latihan ketenteraan kerana ia menyatukan pembangunan intelektual dengan pembentukan karakter serta semangat berkhidmat.

Kerjasama JPT–ATM juga semakin bermakna apabila disokong oleh inisiatif yang lebih konkrit. Antaranya ialah kajian penambahbaikan bayaran insentif, laluan khas ke Angkatan Tetap, peluang Pertugasan Sepenuh Masa, cadangan memudahkan pegawai kembali menyertai Angkatan Sukarela, latihan industri di unit ATM, pembangunan Professional Military Education dan sistem digital OVERWATCH.

Langkah-langkah ini menunjukkan usaha menjadikan PALAPES sebahagian daripada ekosistem pembangunan bakat, bukan program yang terhenti selepas pentauliahan.

Laluan khas ke Angkatan Tetap, misalnya, memberikan pengiktirafan kepada pengalaman dan kompetensi yang telah dibina sepanjang latihan PALAPES.

Mulai 2026, calon PALAPES yang masih aktif diberikan pengecualian daripada beberapa ujian tertentu dalam proses pemilihan Pegawai Kadet Graduan.

Pendekatan ini lebih munasabah kerana latihan selama beberapa tahun sudah pun menguji sebahagian daripada keupayaan kepimpinan, perancangan, pengetahuan dan komunikasi mereka.

Cadangan latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap juga sangat penting daripada perspektif pendidikan tinggi.

Ia membuka ruang kepada mahasiswa melihat bagaimana ilmu kejuruteraan, teknologi, perubatan, komunikasi atau disiplin lain digunakan dalam persekitaran tugas sebenar ATM.

Kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar kerjasama antara institusi.

Pada masa yang sama, pengalaman tersebut boleh meningkatkan minat mereka untuk terus menyumbang kepada ekosistem pertahanan selepas tamat pengajian.

Begitu juga pembangunan Professional Military Education dan sistem OVERWATCH yang boleh membantu mengekalkan hubungan dengan pegawai muda selepas mereka ditauliahkan.

Pengiktirafan PALAPES sebagai aktiviti kokurikulum yang berpotensi menerima jam kredit akademik juga wajar diberi perhatian. Ia mengiktiraf hakikat bahawa pembelajaran bermakna tidak hanya berlaku melalui kuliah, tugasan dan peperiksaan.

Pendidikan tinggi yang baik mesti menghargai pengalaman yang benar-benar membentuk disiplin, daya tahan, kepimpinan, keyakinan diri dan kebolehan bekerja dengan orang lain.

Tidak semua lepasan PALAPES perlu menjadi tentera sepenuh masa. Ada yang akan menjadi jurutera, doktor, peguam, pensyarah, akauntan, pegawai kerajaan, saintis data, usahawan atau pakar teknologi, tetapi nilai yang dibentuk melalui latihan tetap boleh dibawa ke mana sahaja mereka berada.

Disiplin, kepimpinan, keberanian, kesetiaan kepada pasukan dan kesedaran terhadap keselamatan negara akan menjadikan mereka aset kepada organisasi serta masyarakat.

Tegasnya, kerjasama antara ATM dan JPT merupakan langkah tepat untuk memperkasakan PALAPES dan Wataniah dengan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada pengalaman yang membentuk karakter mahasiswa.

Melalui pendekatan ini, pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, tetapi juga generasi yang mampu memimpin, menghadapi ketidakpastian dan memahami tanggungjawab mereka kepada negara.

* Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)