MALAYSIA menutup saingan acara 4x100 meter (m) Grand Prix Muscat 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila mengumpul dua pingat emas dan satu gangsa di Muscat, Oman awal pagi Ahad.
Kilauan emas pertama hadir menerusi kuartet lelaki A yang mencatat 39.18 saat (s) untuk mengungguli saingan selepas empat pelari negara mempamerkan gandingan mantap sepanjang perlumbaan.
Pengiran Aidil Auf Hajam, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Muhammad Umaira Subri dan Muhammad Azeem Fahmi menjadi taruhan negara dalam kuartet berkenaan.
Satu lagi pingat emas disumbangkan kuartet wanita selepas mencatat 46.07s untuk turut menamatkan saingan di kedudukan teratas.
Kuartet itu dibarisi Azreen Nabila Alias, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nurul Wardatul Huwaida Mohd dan Nur Aishah Rofina Aling.
Sementara itu, kuartet lelaki B melengkapkan kutipan pingat Malaysia dengan gangsa hasil catatan 41.29s.
Umar Osman, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif, Muhammad Sayyid Amin Roslan dan Muhammad Haziq Mohamad Akhir terpaksa berpuas hati di belakang Oman A yang meraih perak dengan masa 40.38s.
Lubnan A pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat menerusi catatan 41.71s.
Kutipan tiga pingat itu memberikan gambaran positif terhadap keupayaan pelari pecut negara untuk bersaing dalam kejohanan antarabangsa, selain menjadi suntikan semangat untuk terus memperbaiki prestasi dan catatan masa pada saingan akan datang.