IPOH - Seorang lelaki warga emas kerugian RM1.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, dalam kejadian, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 78 tahun telah dihubungi individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis memaklumkan kononnya terlibat dalam satu kesalahan jenayah.
Menurutnya, suspek menggunakan taktik menakut-nakutkan mangsa menyebabkan mangsa panik dan telah mengikut arahan diberikan suspek.
"Mangsa kemudian mengikuti arahan agar wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1.9 juta.
"Menyedari dirinya diperdaya, mangsa telah tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kes berkenaan menggunakan modus operandi ‘phone scam’ iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa bagi meyakinkan mangsa sebelum memperdayakan mereka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Alwi menegaskan bahawa pihak polis tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank atau wakil agensi penguatkuasaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya segera menamatkan panggilan mencurigakan dan tidak mendedahkan maklumat perbankan seperti nombor TAC, OTP, kata laluan atau maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali," katanya.
Tambahnya, PDRM Perak turut meminta warga emas, pesara serta ahli keluarga mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan berkenaan.
"Ahli keluarga disaran sentiasa mengingatkan ibu bapa dan warga emas agar tidak membuat sebarang transaksi kewangan berdasarkan arahan melalui telefon tanpa pengesahan terlebih dahulu," katanya.