THE HAGUE - Penjenayah perang, Ratko Mladic yang disabitkan atas peranannya dalam Genosid Srebrenica pada 1995 iaitu pembunuhan beramai-ramai pertama di bumi Eropah sejak Perang Dunia Kedua meninggal dunia di penjara di The Hague pada usia 84 tahun.
Mladic yang diberi julukan sebagai 'penyembelih Bosnia' merupakan antara jeneral tentera paling kejam ketika peperangan yang berlaku selepas perpecahan Yugoslavia.
Di bawah arahannya, tentera Serb Bosnia menawan Srebrenica berhampiran sempadan Serbia pada Julai 1995 walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan kawasan itu sebagai 'zon selamat'.
Dalam tempoh singkat, tentera di bawah pimpinannya membunuh ribuan lelaki Bosniak termasuk kanak-kanak di bawah kempen pembersihan etnik yang terus menjadi titik hitam buat komuniti tersebut hingga ke hari ini. Genosid itu dilancarkan demi merealisasikan cita-citanya untuk membentuk 'Gagasan Serbia Raya'.
Mladic mengejar matlamat jahat itu dengan kekejaman yang terancang, menjadikannya dalang utama yang bertanggungjawab atas antara kezaliman paling dahsyat yang berlaku di blok Eropah sejak era Nazi pimpinan Adolf Hitler berkuasa di Jerman.
Ideologi nasionalisme ekstrem menyebabkan Mladic diangkat sebagai wira dalam kalangan sebahagian rakyatnya.
Dia mengetuai pengepungan Sarajevo yang panjang dan berdarah, menyebabkan penduduk bandar itu terkorban dan cedera akibat serangan bom serta menjadi sasaran penembak tepat setiap hari.
Mladic bersama sekutu politiknya, Radovan Karadzic dipertanggungjawabkan atas kehancuran Bosnia melalui tindakan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Komander perang itu tidak pernah menyesal atas perbuatannya malah dengan selamba memberi isyarat ibu jari secara sinis kepada waris keluarga mangsa pembunuhannya ketika perbicaraan di The Hague.
“Sempadan dilukis dengan darah dan negara ditandai dengan kubur,” katanya dengan angkuh ketika mencerminkan pendiriannya bahawa pertumpahan darah dan kematian kononnya harga yang perlu dibayar untuk membentuk sebuah negara.
Pendirian anti-Islam
Ratko Mladic dilahirkan pada 12 Mac 1942 di sebuah perkampungan kecil di kawasan pergunungan berhampiran Sarajevo yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Negara Merdeka Croatia yang berada di bawah kawalan Jerman.
Mladic membesar di Yugoslavia ketika era pasca perang. Selepas menjalani latihan singkat sebagai tukang tin, dia kemudiannya memilih kerjaya dalam bidang ketenteraan dan menamatkan latihan pada 1965.
Sebagai seorang askar yang bercita-cita tinggi dan berkebolehan, kerjayanya meningkat dengan pantas hingga dipilih mengetuai unit tentera di Macedonia dan Kosovo. Pada Jun 1991, Croatia mengisytiharkan kemerdekaan. Mladic dihantar bersama tentera Yugoslavia untuk mengembalikan kawalan ke atas negara itu.
Apabila perang merebak ke Bosnia, pasukannya menyatakan sokongan kepada Republika Srpska yang mengisytiharkan gerakan pemisahan.
Mladic menganggap penduduk Islam sebagai penceroboh akibat pendudukan Empayar Uthmaniyah dan dia sewenang-wenangnya mahu membetulkan apa yang dianggapnya sebagai ketidakadilan sejarah, menghalau kumpulan yang dilihat sebagai penceroboh dan membina sebuah negara yang hanya dihuni oleh satu kelompok etnik seperti yang diimpikannya.
Pengepungan Sarajevo tercetus apabila ibu kota Bosnia dipertahankan oleh pasukan pelbagai etnik yang terdiri daripada Serb, Croat dan Bosniak (Muslim Bosnia).
Tentera Mladic berkubu di kawasan bukit di sekeliling bandar dan menyekat Sarajevo selama 1,425 hari menjadikannya antara kepungan bandar paling lama dalam sejarah peperangan moden. Konflik itu turut meragut kira-kira 13,000 nyawa.
Pada 22 Julai 1993, hampir 4,000 bedilan meriam menghujani Sarajevo menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan.
Pembunuhan beramai-ramai pada masa itu menjadi mimpi ngeri dalam sejarah Eropah dan disifatkan antara kegagalan paling buruk PBB.
Setiausaha Agung PBB ketika itu, Kofi Annan juga mengakui masyarakat antarabangsa melakukan kesilapan besar dalam membuat keputusan kerana terlalu berpegang kepada prinsip berkecuali.
Pada Julai 1995, Mladic akhirnya didakwa atas jenayah perang, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) atas peranannya dalam Perang Bosnia.
Bagi sebahagian rakyatnya, ‘penyembelih Bosnia’ ini dianggap sebagai pelindung yang mempertahankan cara hidup dan kepentingan mereka.
Namun, bagi etnik Bosniak serta majoriti masyarakat antarabangsa, Mladic kekal dikenang sebagai seorang pemimpin yang zalim, bertanggungjawab atas pelbagai kekejaman berdarah dan mencemarkan lembaran sejarah Eropah.
Di Bosnia, hubungan antara masyarakat Bosniak dan Serb masih dibelenggu ketegangan meskipun perang nasionalis yang dipimpin oleh Mladic dan Karadzic pada 1990-an telah berakhir. Kesan konflik antara kedua-dua komuniti tersebut masih dirasai hingga ke hari ini. - Agensi