SHAH ALAM – Niat seorang pekerja Karangkraf untuk memilih opt-out daripada caruman tambahan bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Skim LINDUNG 24 Jam mungkin menjadi keputusan yang dikesalinya sehingga hari ini.
Pengurus Unit Pemasaran dan Pengiklanan Sinar Harian, Mohd Shafiq Affandy mengakui hampir menekan butang opt-out ketika diberi pilihan untuk menyertai skim berkenaan yang melibatkan caruman tambahan 0.75 peratus kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagaimanapun, dia akhirnya memilih untuk meneruskan caruman tersebut.
Menurutnya, keputusan itu ternyata membawa kesan besar selepas mengalami kemalangan ketika beriadah di sebuah taman di luar waktu bekerja.
“Pada 2 Ogos lalu, saya terjatuh daripada basikal ketika mengelak melanggar seorang kanak-kanak di taman.
“Apabila saya mula masuk kerja, seorang rakan mencadangkan supaya menuntut faedah Skim LINDUNG 24 Jam, walaupun pada mulanya saya tidak tahu bahawa tuntutan itu boleh dibuat,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Mohd Shafiq memaklumkan proses tidak terlalu rumit memandangkan Bahagian Sumber Manusia (HR) Karangkraf turut membantu, termasuk menyediakan pautan ke laman web PERKESO.
Tidak sampai seminggu, dia dimaklumkan layak menerima faedah Skim LINDUNG 24 Jam, sekali gus menjadi pekerja pertama Karangkraf yang menerima manfaat tersebut.
“Difahamkan, jumlah tuntutan bergantung kepada tahap kecederaan pencarum.
“Alhamdulillah, ada juga faedah diterima walaupun tidak mencecah ribuan ringgit, namun dapat meringankan beban.
“Skim LINDUNG 24 Jam sangat bagus dan manfaatnya tidak perlu diragui. Pencarum sepatutnya meneruskan caruman meskipun terdapat penambahan peratusan kerana perlu lihat manfaat bakal diperoleh,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Sumber Manusia Karangkraf, Nur Wahidah Yasir berpandangan, perlindungan pekerja merupakan aspek penting yang tidak seharusnya terhad kepada waktu bekerja sahaja kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Justeru, menurutnya, Skim LINDUNG 24 Jam dianggap satu lapisan perlindungan tambahan memberi manfaat kepada pekerja dan keluarga ketika berdepan kejadian tidak dijangka.
“Pihak HR komited memberi perhatian terhadap kebajikan pekerja, termasuk membantu dari segi penerangan mengenai manfaat skim, dokumentasi dan urusan tuntutan,” jelasnya.