BALING - Minat mendalam terhadap dekorasi melalui seni ukiran kayu dan pembuatan perabot, mendorong seorang pengusaha di daerah ini terus menghasilkan pelbagai rekaan unik, lebih-lebih lagi apabila hasil kerjanya mendapat penghargaan daripada peminat dan orang ramai.
Mohd Shamsul Bahrin Mohd Talib, 39, dari Kuala Ketil berkata, penglibatannya secara tidak lansung dalam dunia pembuatan dan hiasan kayu bermula hanya kerana membantu bapa yang merupakan seorang tukang rumah.
Menurutnya, pengalaman dan tunjuk ajar arwah bapa dijadikan kekuatan serta penguat semangat sehinggalah kini mampu menjadikan bidang tersebut sebagai salah satu punca pendapatan.
Jelas Mohd Shamsul Bahrin, sejak dulu mereka diajar membantu bapa melakukan kerja-kerja tukang termasuk mencipta perabot baru untuk dimuatkan dalam rumah mereka.
"Saya pembantu ayah sahaja, tak sangka sekarang saya boleh reka perabot untuk orang lain pula," katanya.
Baginya, perjalanan itu bukan sekadar mencari rezeki, sebaliknya menyimpan memori indah dan nilai kekeluargaan yang sukar dicari ganti.
Dia berkata, dahulu mereka hanya bekerja dari rumah untuk menyiapkan tempahan dari orang ramai.
Bagaimanapun, setelah karier semakin berkembang, mereka mula mengusahakan sebuah bengkel yang membolehkan kerja-kerja ukiran dan penghasilan perabot dilaksanakan secara lebih teratur.
Mohd Shamsul berkata, cabaran awal tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya menjadi pendorong untuk terus belajar dan memperbaiki kesilapan.
“Dulu saya buat secara suka-suka. Tapi bila nampak orang mula percaya, saya rasa kena buat betul-betul,” ujarnya.
Beliau yang pernah bekerja dalam bidang perhotelan turut menggunakan sedikit-sebanyak pengalaman tersebut untuk memantapkan cara kerja lebih-lebih lagi apabila produk dihasilkan memasuki pasaran.
Bagaimanapun, setelah berjaya meningkatkan keyakinan penggemar seni dan ukiran kayu, Mohd Shamsul kini cuba menerokai bidang hiasan dalaman termasuk membabitkan rumah ibadat, surau dan masjid.
Namun, seiring peredaran masa, dia mula beralih kepada penggunaan material lebih berkualiti terutama dalam penghasilan perhiasan berunsurkan Islamik seperti mihrab, mimbar dan panel dinding yang kini mendapat permintaan.
“Saya tengok trend di luar dan cuba gabungkan dengan idea baharu, dengan cara itu, hiasan dekorasi dihasilkan nampak lebih segar,” katanya sambil menjelaskan perniagaan yang dijalankan mula mendapat permintaan bukan sahaja di Kedah malah beberapa negeri di utara.
Jelasnya, tanpa dorongan dan galakan dari arwah bapa suatu ketika dahulu, mungkin dia tidak mampu berada pada tahap ini.
Dia bagaimanapun berharap agar adik kandung yang kini menceburi bidang yang sama dapat meneruskan legasi warisan diturunkan arwah bapa mereka.
"Saya sentiasa tekankan kekemasan setiap rekaan dan mahu kekalkan kualiti bagi memastikan kepuasan hati pelanggan.
"Bagi saya, setiap hasil kerja bukan sekadar produk saya seorang, tetapi simbol usaha dan kenangan bersama arwah ayah yang menjadi asas kejayaan hari ini.
"Apa yang ditinggalkan, saya teruskan... harap adik dan generasi seterusnya dapat terus memelihara seni warisan dan ukiran kayu ini, dalam masa sama mempertingkatkan kemahiran serta mempelbagaikan dekorasi dan perabot supaya warisan ini kekal relevan mengikut peredaran zaman serta mendapat tempat di hati masyarakat," katanya.