SHAH ALAM – Melihat bapanya setia menunggu di depan pintu setiap kali anak-anak pulang ke kampung menjadi antara perkara paling dirindui anak kepada rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan tragedi banjir besar di Nepal.
K Divya Varshini, 29, berkata, bapanya, V Krishnan, 74, tidak pernah tidur sehingga semua anaknya selamat tiba di rumah, malah akan memastikan tempat tidur mereka disediakan terlebih dahulu.
“Setiap kali 'appa' (ayah) tahu anak-anaknya akan pulang ke kampung, dia tidak akan tidur sehingga kami sampai. Dia akan menunggu kami di depan pintu dan memastikan semua katil sudah disediakan supaya kami boleh terus berehat.
“Saya mahu melihat appa menunggu di depan pintu itu lagi. Saya cuma mahu appa pulang. Kami semua sedang menunggu,” katanya kepada Sinar Harian.
Divya berkata, meskipun sudah berusia 29 tahun, dia masih dianggap seperti anak kecil oleh bapanya yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
Katanya, antara perkara yang paling menyentuh hatinya ialah bapanya akan datang memeriksa keadaannya ketika tidur pada waktu malam, membetulkan kedudukan kakinya dan menyelimutkannya.
“Saya mahu appa datang memeriksa saya ketika tidur lagi. Saya sangat-sangat mahu memeluknya,” luahnya.
Divya yang merupakan anak bongsu berkata, bapanya sentiasa memberinya kebebasan untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam fikiran dan hati.
Malahan, ahli keluarga sering bergurau bahawa dia merupakan anak pertama yang berani meninggikan suara terhadap bapanya, namun hakikatnya Krishnan sendiri memberi ruang kepadanya untuk bersuara.
“Tiada apa yang boleh dibanggakan tentang perkara itu, tetapi sebenarnya appa yang memberi saya kebebasan untuk menyatakan apa sahaja yang ada dalam fikiran dan hati.
“Tidak kira apa pun, appa akan mendengar saya. Kasih seorang bapa benar-benar menjadi tulang belakang kepada anak-anak. Kadang-kadang kita mungkin tidak melihat atau mendengarnya, tetapi kasih itu sentiasa ada,” katanya.
Menurut Divya, bapanya juga mempunyai satu panggilan istimewa untuk anak-anaknya apabila sering memanggil mereka sebagai ‘amma’.
Jelasnya, amma bermaksud ibu dalam bahasa Tamil, namun panggilan itu digunakan Krishnan terhadap anak-anaknya sebagai tanda kasih sayang.
“Appa selalu memanggil kami ‘amma’. Itulah panggilan penuh kasih sayangnya kepada anak-anak dan saya sangat rindu mendengarnya.
“Saya mahu mendengar appa memanggil saya ‘amma’ sekali lagi,” katanya.
Divya turut mengakui masih dihantui rasa terkilan kerana membenarkan bapanya pergi ke Tibet.
“Appa, saya rindukan appa lebih daripada apa yang mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Saya sering berharap saya tidak pernah membenarkan appa pergi. Saya hanya mahu appa pulang.
"Saya mahu memeluk appa sekali lagi. Saya sangat rindukan dan sayangkan appa. Tolonglah pulang, kami semua sedang menunggu,” luahnya.
Sebelum ini, media melaporkan Krishnan dari Sungai Siput, Perak menjadi antara rakyat Malaysia yang terputus hubungan dengan keluarga selepas banjir besar melanda sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.
Krishnan menyertai perjalanan keagamaan selama 14 hari ke Gunung Kailash di Tibet dan dijadualkan pulang ke Malaysia esok.
Dalam perkembangan terbaharu, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarga Krishnan turut diambil pada Rabu lalu bagi membantu proses pengecaman dalam usaha mengesan mangsa.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yabg terdiri daripada 11 pegaeai dan anggota pula berlepas ke Nepal pada pagi Sabtu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang terjejas akibat bencana itu.