SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwa bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO sehingga mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menumpang kekuatan parti tersebut.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan Tuan Ibrahim itu menimbulkan persoalan sama ada Pas kini bertindak sebagai 'jurucakap' UMNO dalam pertikaian membabitkan parti berkenaan dengan PKR.
“Saya agak pelik membaca kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO sehingga mendakwa PKR menumpang kekuatan UMNO.
“Sejak bila Pas dilantik menjadi jurucakap UMNO? Atau adakah Pas kini merasakan mereka lebih besar daripada UMNO sehingga boleh bercakap bagi pihak parti itu?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata PKR tidak wajar memberi kata dua kepada UMNO sama ada untuk terus bersama Kerajaan Madani atau beralih menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu sendiri dilihat menumpang kekuatan UMNO.
Menurut beliau, PKR seharusnya menilai kedudukan serta jumlah kerusi yang dimiliki berbanding UMNO sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran terhadap rakan dalam kerajaan.
Mengulas lanjut, Danish berkata, jika jumlah kerusi Parlimen dijadikan ukuran kekuatan politik seperti yang dibangkitkan Tuan Ibrahim, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PKR memenangi 31 kerusi berbanding UMNO yang memperoleh 26 kerusi.
Menurutnya, selepas tiga Ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusi masing-masing, parti itu masih mempunyai 28 kerusi Parlimen berbanding UMNO yang kekal dengan 26 kerusi.
“Justeru, berdasarkan jumlah kerusi semasa, PKR masih mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO,” katanya.
Danish turut mempersoalkan pendirian Tuan Ibrahim yang sebelum ini mengingatkan bahawa tidak sepatutnya wujud konsep “abang besar” atau “adik kecil” dalam rundingan kerjasama antara Pas dan UMNO.
Menurut beliau, semua pihak sewajarnya dianggap setara dalam sebarang bentuk kerjasama politik.
“Apabila mahu bekerjasama dengan UMNO, katanya tidak wujud konsep abang besar. Namun apabila mahu menyerang PKR, tiba-tiba UMNO pula dianggap abang besar.
“Politik Pas ini berasaskan prinsip atau mengikut keadaan semasa?” dakwanya.
Danish turut menyarankan agar Pas menyerahkan kepada kepimpinan UMNO untuk memberikan pandangan sendiri sekiranya timbul sebarang isu antara UMNO dan PKR.
Katanya, UMNO mempunyai barisan kepimpinan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan yang mampu menjelaskan pendirian parti tersebut tanpa perlu diwakili pihak lain.
“Jika UMNO mempunyai masalah dengan PKR, biarlah pimpinan UMNO sendiri yang bersuara. UMNO belum sampai ke tahap memerlukan Pas menjadi jurucakap tidak rasmi mereka,” katanya