Pindah LIMA boleh jejaskan ekonomi Langkawi – Exco Kedah

Iklan
Mohd salleh (kanan) hadir pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan 2026 pada Sabtu.

KUALA KEDAH – Cadangan memindahkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) ke Melaka dibimbangi menjejaskan limpahan ekonomi serta ekosistem pelancongan di Langkawi.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu akses ke Langkawi dan bukannya mempertimbangkan pemindahan acara antarabangsa yang telah sinonim dengan pulau peranginan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, LIMA yang berlangsung di Langkawi sejak lebih tiga dekad lalu bukan sekadar sebuah pameran pertahanan, malah memberi impak besar kepada sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan, perniagaan dan ekonomi setempat.

“Jika isu yang dibangkitkan ialah akses, maka selesaikan isu akses tersebut. Jangan kerana wujud masalah tertentu, kita mengambil keputusan untuk memindahkan satu acara yang sudah berakar umbi di Langkawi.

Iklan

“LIMA bukan sekadar sebuah pameran. Ia telah menjadi sebahagian daripada identiti Langkawi dan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk serta pemain industri pelancongan,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan 2026 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneroka Melaka sebagai lokasi alternatif penganjuran LIMA pada masa hadapan sekiranya Langkawi tidak lagi sesuai.

Iklan

Mohd Salleh berkata, cadangan memindahkan LIMA ke Melaka juga dilihat agak menghairankan ketika kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu perkhidmatan feri serta memperkukuh semula kedudukan Langkawi sebagai pulau bebas cukai.

Menurutnya, kebimbangan pemain industri di Langkawi berhubung cadangan tersebut adalah berasas kerana LIMA merupakan acara yang amat dinanti-nantikan setiap kali dianjurkan.

“Maklum balas yang saya terima daripada pemain industri di Langkawi agak kurang positif terhadap cadangan tersebut.

“Sebenarnya, LIMA merupakan acara yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pemain industri pelancongan dan perniagaan di Langkawi,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran edisi terdahulu turut mencatatkan kehadiran pengunjung tertinggi sepanjang sejarah LIMA.

Pada Mei tahun lalu, LIMA berjaya menarik kira-kira 450,000 pengunjung selain menghimpunkan 860 pempamer dari 24 negara. Sebanyak 43 pesawat dan 31 kapal turut mengambil bahagian sepanjang lima hari penganjuran.

Kesan limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan turut dapat dilihat menerusi peningkatan permintaan terhadap pengangkutan dan penginapan apabila Konsortium Ferry Line Ventures merekodkan jualan sebanyak 87,173 tiket feri sepanjang LIMA 2025.

Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, sebanyak 126 perjalanan tambahan dua hala dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis turut disediakan sepanjang tempoh penganjuran acara tersebut.