Equal Earth gantikan peta Mercator

Iklan
Peta dunia baharu (kanan) yang menjadikan benua Afrika kelihatan lebih besar manakala Amerika Utara dan Eropah kelihatan lebih kecil. Foto Agensi

NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat mengundi untuk menerima pakai peta dunia baharu yang menjadikan benua Afrika kelihatan lebih besar manakala Amerika Utara dan Eropah kelihatan lebih kecil, sekali gus mengundang kritikan daripada Washington.

Resolusi itu bertujuan menghasilkan 'gambaran yang lebih tepat' mengenai keluasan daratan benua dan disokong oleh 164 negara. Amerika Syarikat (AS) pula menolak dan enam negara lain mengambil pendirian berkecuali.

Iklan
Iklan

Peta baharu yang dikenali sebagai unjuran kartografi Equal Earth itu dikatakan dapat meningkatkan 'ketepatan gambaran kartografi dunia'.

Resolusi itu menggesa negara anggota menggunakan peta baharu tersebut bagi menggantikan unjuran Mercator yang direka untuk tujuan navigasi maritim oleh ahli kartografi dari Flanders, Gerardus Mercator pada 1569.

Iklan

Menteri Luar Togo, Robert Dussey yang menaja resolusi berkenaan berkata, peta baharu itu membimbing pendidikan, menyuburkan imaginasi dan mempengaruhi persepsi kolektif.

AS bagaimanapun mengecam resolusi tersebut dan menyifatkan langkah berkenaan sebagai antara faktor yang menyebabkan institusi itu semakin kehilangan kredibiliti.

Iklan

“Daripada memberi tumpuan kepada isu-isu sebenar, badan ini sebaliknya membahaskan peta yang dihasilkan sejak abad ke-16 dan kaitannya dengan usaha memperjuangkan pampasan serta keadilan kognitif,” kata Yaryna Ferencevych menjelang pengundian.

Sekumpulan ahli kartografi memperkenalkan unjuran Equal Earth pada 2018. Peta tersebut menjadikan Afrika, Amerika Latin, Asia Selatan dan Oceania kelihatan jauh lebih besar.

Perancis yang turut menaja bersama resolusi bagi menyokong penggunaan peta baharu itu mengumumkan mereka akan meninggalkan penggunaan unjuran Mercator.

“Menukar peta sememangnya tidak mengubah dunia, Namun, membetulkan gambaran yang diputarbelitkan merupakan satu tindakan wajar untuk menegakkan kebenaran," kata Menteri Luar, Jean-Noel Barrot.

Dalam peta berkenaan, AS, Rusia dan China kelihatan jauh lebih dominan dari segi visual berbanding Afrika, Amerika Latin atau Asia Tenggara manakala Greenland kelihatan hampir sebesar Afrika.

Inisiatif tersebut dilaksanakan ketika Perancis sedang berusaha memperbaiki hubungan dengan negara-negara Afrika, khususnya bekas tanah jajahannya yang kini mempunyai hubungan tegang dengan Paris. - Agensi