‘Yoga berunsur keagamaan, pemujaan haram di sisi syarak’ - Mufti Wilayah Persekutuan

Iklan
Ahmad Fauwaz

SHAH ALAM – Senaman yoga yang menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan serta pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang diamalkan umat Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ketetapan itu terkandung dalam Fatwa Wilayah Persekutuan berkenaan senaman yoga yang diwartakan pada 2 April 2009 dan turut melarang apa-apa jenis atau bentuk senaman mengandungi unsur sedemikian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penilaian terhadap yoga perlu mengambil kira kandungan dan tujuan amalannya kerana persamaan pada sesuatu pergerakan fizikal tidak semestinya membawa hukum yang sama.

“Pergerakan fizikal yang benar-benar bebas daripada unsur keagamaan, mantra dan pemujaan tidak dihukum hanya kerana terdapat persamaan bentuk.

Iklan

“Umat Islam hendaklah menjauhi latihan yang mengandungi upacara atau bacaan keagamaan yang bercanggah dengan syarak,” katanya menerusi Tinta Mufti Bilangan 127/2026 bertajuk ‘Yoga dan Meditasi dalam Mizan Akidah Islam’ yang disiarkan menerusi laman web rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada Sabtu.

Ahmad Fauwaz mengulas perkara itu susulan kenyataan tular menerusi sebuah rancangan media baharu yang menggambarkan yoga sebagai amalan boleh dilakukan semua agama termasuk umat Islam, selain menggalakkan masyarakat mempelajarinya di Shiva Yoga Peeth, Rishikesh, India.

Iklan

Beliau menegaskan, kenyataan sedemikian memerlukan penjelasan cermat kerana isu itu bukan lagi sekadar menyentuh pilihan senaman, sebaliknya turut membentuk kefahaman mengenai hubungan antara kesihatan fizikal, meditasi, jalan kerohanian dan batas akidah.

Menurutnya, Islam menggalakkan penjagaan tubuh, kecergasan dan ketenangan fikiran, namun apabila latihan fizikal disepadukan dengan mantra, pemujaan, falsafah keagamaan, konsep tenaga metafizik atau penghayatan kerohanian agama lain, penilaiannya tidak lagi terhenti pada manfaat jasmani.

“Gerakan yang bebas daripada unsur keagamaan mempunyai pertimbangannya sendiri. Yoga yang menggabungkan mantra, meditasi kerohanian, falsafah, ritual dan konsep metafizik mempunyai pertimbangan yang lain.

“Hukum tidak hanya melihat apa yang dilakukan oleh tubuh, bahkan turut menilai apa yang diucapkan, diyakini, dimaksudkan dan dihayati melalui amalan tersebut,” ujarnya.

Mengenai Shiva Yoga Peeth, Ahmad Fauwaz berkata, program 200 jam institusi itu di Rishikesh bagi 2026 turut merangkumi Yoga Sutras, Bhagavad Gita, Om chanting, meditasi cakra, mantra Gayatri dan doa selain menawarkan lawatan ke kuil serta Ganga Aarti.

Katanya, kandungan sedemikian menunjukkan pembelajaran yoga dalam lingkungan berkenaan tidak tepat jika dinilai hanya berdasarkan manfaat fleksibiliti tubuh, ketenangan atau kawalan pernafasan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan individu berpengaruh supaya lebih cermat menyampaikan pandangan berkaitan hukum agama kerana pengalaman peribadi atau kekaguman terhadap seseorang guru tidak mencukupi untuk menentukan hukum kepada masyarakat.

“Islam tidak mengajar umatnya memusuhi penganut agama lain. Keharmonian dibina dengan ilmu dan adab tanpa mencairkan akidah atau mengambil ritual agama lain sebagai amalan seorang Muslim,” katanya lagi.