LIMA: Risiko hilang penyertaan peserta dunia jika tiada tambah baik tapak, fasiliti - Mohamed Khaled

Iklan
Mohamed Khaled (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Penyerahan WPP PTPTN di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi pada Sabtu.

KOTA TINGGI - Negara berdepan risiko kehilangan penyertaan peserta dunia dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) jika tidak melakukan penambahbaikan drastik terhadap keluasan tapak serta fasiliti.

​Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memastikan pameran LIMA di Malaysia kekal relevan dan berprestij.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persaingan menjadi semakin sengit apabila negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia mula agresif menganjurkan pameran pertahanan.

“Kawasan berpotensi adalah seperti di Klebang, Melaka dan ini boleh dipertimbangkan untuk penganjuran masa depan,” katanya ketika ditemui selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi pada Sabtu.

Iklan

Mohamed Khaled menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan WPP PTPTN di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan meneroka alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa hadapan.

Iklan

Dalam laporan itu, Mohamed Khaled berkata, ia memerlukan pelaburan besar daripada kerajaan bagi memastikan infrastruktur berkaitan dapat dilengkapkan dengan sempurna sebelum pameran berkenaan dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, LIMA tidak seharusnya dihentikan selepas jenamanya dibina selama berpuluh tahun sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, sekiranya kemudahan sedia ada di Langkawi tidak lagi mampu menampung keperluan pameran yang semakin besar, kerajaan perlu melihat pilihan lain bagi memastikan penyertaan pemain industri antarabangsa tidak terjejas.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberi contoh penganjuran di Arab Saudi dan Abu Dhabi yang memanfaatkan keluasan kawasan tapak setingkat sekali gus membolehkan aset serta kenderaan pertahanan dipamerkan secara terbuka di luar bangunan.

“Kita setiap dua tahun buat Defense Services Asia (DSA). Mungkin DSA itu dulu boleh dianjurkan di Klebang tetapi ia memerlukan pelaburan dengan pusat konvensyen dan juga pameran yang sangat-sangat besar.

"Kalau kita lihat sekarang, DSA dibuat di bangunan bertingkat di Kuala Lumpur jadi semua kenderaan berada di dalam dan ia tak cukup untuk menampung. Saya hanya beritahu, kalau kita tidak buat begini, ramai tak akan menyertai pameran yang kita jayakan," ujarnya.