MAHA 2026 rekod 17 MoU bernilai RM3.27 bilion

Iklan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (duduk depan, kiri) pada majlis pertukaran MoU sempena MAHA 2026 yang berlangsung di MAEPS Serdang.

MOMENTUM Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 17 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM3.27 bilion direkodkan pada hari kelapan penganjurannya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, antara kerjasama utama yang menjadi tumpuan ialah pertukaran MoU antara Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Guizhou Phosphate Chemical (GPC) Group dan Jiangsu Chemical Design Institute Co Ltd (CDIJS) bernilai RM1.5 bilion.

Iklan
Iklan

“Kerjasama strategik ini memberi fokus kepada pembangunan industri baja bersepadu di Malaysia yang merangkumi pemprosesan bahan mentah, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti tempatan serta penerokaan peluang hiliran.

“Inisiatif ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri baja negara dan seterusnya menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Edisi ke-14 MAHA berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos lalu hingga esok di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ia menjadi platform utama kepada sektor pertanian negara yang terdiri daripada pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.

Iklan

Mengulas lanjut, KPKM memaklumkan, selain itu, kerjasama antara empat syarikat Malaysia iaitu Top Fruits Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, Golden Fresh Durian Sdn Bhd, Phg Ever Fresh Food Sdn Bhd dan rakan strategik dari negara China turut menjadi antara MoU berimpak tinggi yang diketengahkan pada hari keempat.

Menurutnya, ia khususnya dalam memperluas pasaran durian segar premium Malaysia ke pasaran China.

"Kerjasama tersebut melibatkan pembekalan dan pengedaran durian segar premium Malaysia secara 'whole fruit' di bawah jenama Jiangnan Selected bagi tempoh tiga tahun," katanya.

KPKM menegaskan, kerjasama jangka panjang tersebut membuka peluang untuk memperkukuh akses pasaran, memperluas pengedaran produk durian Malaysia serta meningkatkan penjenamaan buah-buahan premium Malaysia di pasaran antarabangsa.

Jelasnya, pencapaian selama lapan hari MAHA 2026 itu membuktikan bahawa platform MAHA bukan sahaja menjadi medan pameran dan promosi produk 'agri-food'.

"Malah ia semakin berperanan sebagai platform strategik untuk mempertemukan pemain industri tempatan dengan rakan dagang dan pelabur antarabangsa.

"Dengan pencapaian tersebut, MAHA 2026 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, perdagangan dan kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan 'agri-food' di peringkat global," ujarnya.