Malaysia jadi fasilitator rundingan keamanan Selatan Thailand - Mohamad

Iklan
Mohamad berucap pada Karnival Kemerdekaan KRT Taman Pinggiran Senawang pada Sabtu. - FOTO: Bernama

SEREMBAN - Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Thailand bagi mempertingkatkan usaha memastikan keselamatan dan keamanan di Wilayah Selatan negara itu sempena lawatan rasmi dua hari Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeo ke negara ini bermula esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Thailand memberi penghormatan kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator dalam rundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kita merupakan negara yang diberi penghormatan oleh Thailand untuk menjadi fasilitator dan berunding dengan pihak-pihak yang berkenaan.

"Seorang fasilitator baharu telah pun dilantik dan Isnin ini saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeo yang diberi mandat sepenuhnya oleh kerajaan Thailand untuk berunding dengan Malaysia mengenai cara terbaik bagi memastikan keselamatan dan keamanan di selatan Thailand," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Taman Pinggiran Senawang di sini pada Sabtu.

Menurutnya, proses rundingan bagi menyelesaikan konflik di wilayah terbabit bukan mudah kerana terdapat banyak pihak yang terlibat.

Iklan

Namun, beliau percaya usaha itu boleh dilakukan bagi memastikan keamanan di kawasan berkenaan dapat dicapai.

"Banyak sangat pihak yang terlibat yang perlu dibawa berunding. Ia seperti di Myanmar juga, banyak pihak yang terlibat, bukan satu atau dua.

"Dalam satu puak itu pun kadang-kadang berpecah kepada tiga atau empat kumpulan yang kadang-kadang tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Ada yang bersetuju, tetapi ada pula yang tidak bersetuju.

"Jadi bukannya mudah, sukar tetapi boleh dicapai untuk kita pastikan keamanan di Selatan Thailand dapat dicapai," katanya.

Mohamad berkata, keamanan di wilayah berkenaan bukan sahaja penting kepada Thailand, malah turut memberikan banyak manfaat kepada Malaysia, khususnya dari aspek hubungan dan perdagangan rentas sempadan.

"Ini akan memberikan banyak faedah kepada kedua-dua negara kerana perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand itu besar.

"Rakyat Malaysia pun ramai pergi ke Thailand. Setiap hujung minggu kadang-kadang mencecah 20,000 orang," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat negara ini yang berhasrat berkunjung ke Thailand supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan.

Katanya, kerajaan setakat ini tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke negara berkenaan.

"Kita tidak ada larangan yang dikeluarkan, tetapi nasihat perjalanan supaya berhati-hati dan berwaspada setiap masa agar keselamatan diutamakan," katanya.