'Kakak minta naik Menara Alor Setar walaupun matanya sudah tidak nampak sepenuhnya'

Iklan
Permintaan Nur Iman Syamimi untuk menikmati suasana di Sky View Menara Alor Setar sempena hari lahirnya tercapai.

ALOR SETAR - Derita akibat kanser otak yang menyebabkan penglihatannya terjejas dan tidak lagi mampu berjalan tidak menghalang Nur Iman Syamimi Muhammad Shauki, 14, menikmati suasana di Sky View Menara Alor Setar.

Impian remaja itu menjadi kenyataan apabila dia dibawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) bersama ibu bapanya dan dua adik, berkunjung ke menara berkenaan pada malam Jumaat.

Iklan
Iklan

Ibunya, Sharifah Noraliza Sharif Nordin, 39, berkata, mereka cuba menggembirakan hati anak sulung daripada tiga beradik itu dengan menunaikan permintaannya sempena hari lahir ke-14 pada 30 Ogos lalu.

“Kakak (Nur Iman Syamimi) minta nak naik Menara Alor Setar walaupun matanya sudah tidak nampak sepenuhnya, selain mahu makan ayam goreng.

Iklan

“Saya dan suami amat berterima kasih kepada CSM kerana mengatur segala-galanya sehingga impian anak kami dapat ditunaikan.

“Meskipun kami gembira dan bersyukur dapat memenuhi impiannya, saya berdoa supaya dia terus sihat dan berharap ini bukan permintaan terakhirnya,” katanya semasa ditemui di Menara Alor Setar.

Iklan

Nur Iman Syamimi dibawa menikmati suasana di Sky View Menara Alor Setar pada Jumaat.

Menurut Sharifah Noraliza, kehidupan anaknya berubah selepas disahkan menghidap kanser otak pada Januari tahun lalu apabila penyakit itu mula menjejaskan sistem saraf serta keupayaan fizikalnya.

Katanya, Nur Iman Syamimi yang sebelum ini aktif dan petah bercakap kini tidak lagi mampu berjalan, selain percakapannya kurang jelas serta hanya mampu melihat cahaya yang kabur.

“Dia sekarang seperti kanak-kanak kecil. Dia minum menggunakan botol susu dan perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

“Kalau pegang cawan pun tangannya terketar-ketar dan jika makan makanan berangin, dia akan berasa sakit,” katanya.

Sharifah Noraliza berkata, pada tahun lalu Nur Iman Syamimi turut meminta untuk diraikan sempena hari lahirnya, namun kekangan kewangan menyebabkan mereka hanya mampu menyambutnya di rumah.

Menurutnya, dia tidak bekerja dan keluarga bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suaminya, Muhammad Shaukhi Ghazali, 43, yang mencari rezeki dengan menjual kelapa di halaman rumah mereka di Kampung Kepala Bukit, Mukim Padang Perahu, Jitra.

“Keadaan kewangan kami memang terhad, jadi tahun lalu dia faham dan hanya minta sambut hari lahir di rumah.

“Tahun ini apabila dia minta nak naik Menara Alor Setar, kami cuba tunaikan kerana mahu melihat dia gembira,” katanya lagi.

Zuraini (duduk, kanan) merealisasikan impian Nur Iman Syamimi untuk naik ke Menara Alor Setar sempena sambutan hari lahirnya pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pihaknya bukan sahaja membawa Nur Iman Syamimi ke Menara Alor Setar, malah turut meraikan hari lahir remaja itu dengan membawanya menikmati hidangan di restoran makanan segera.

Menurutnya, CSM turut menghadiahkan sebuah telefon bimbit supaya dia boleh mendengar muzik atau menikmati kandungan media sosial walaupun penglihatannya semakin terjejas.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 09010020561955 atas nama Sharifah Noraliza Sharif Nordin.