Wanita dipenjara selepas anjing kekasih serang, bunuh sepupu

Iklan
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani rawatan kesihatan mental.

BRISTOL – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 18 minggu selepas anjing baka besar yang berada di bawah tanggungjawabnya menyerang dan menyebabkan kematian sepupu berusia 19 tahun.

Kelcie Reed, dari Lawrence Weston, sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan bertanggungjawab terhadap anjing yang berada dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Morgan Dorsett.

Iklan
Iklan

Dorsett dari Shrewsbury, maut akibat kecederaan pada leher susulan serangan anjing berkenaan, berdasarkan hasil bedah siasat.

Kejadian berlaku di kediaman Reed di Conhorn Drive, Withywood, pada Februari 2025.

Iklan

Di Mahkamah Tinggi Bristol, Hakim Anna Richardson menjatuhkan hukuman penjara 18 minggu terhadap Reed, namun hukuman itu digantung selama 18 bulan.

Hukuman tersebut dikurangkan daripada 26 minggu selepas mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah Reed.

Iklan

Anjing berkenaan yang dimiliki teman lelaki Reed itu kemudiannya ditidurkan.

Selain hukuman penjara, Reed turut dikenakan perintah menjalani rawatan kesihatan mental selama sembilan bulan.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Richardson berkata kejadian itu merupakan tragedi yang amat menyedihkan buat keluarga Dorsett dan memberi kesan besar kepada Reed.

Beliau berkata hukuman yang dijatuhkan mungkin dilihat tidak memadai oleh keluarga mangsa memandangkan kehilangan yang dialami adalah pada tahap paling besar terhadap orang tersayang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hukuman penjara itu tetap berkuat kuasa sekiranya Reed gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, Reed perlu menjalani rawatan dan menghadiri janji temu yang ditetapkan sepanjang tempoh 18 bulan berkenaan.

Jika gagal berbuat demikian atau tidak melengkapkan syarat rawatan, Reed perlu menjalani hukuman penjara tersebut.