11 lelaki ditahan kes serangan bersenjata

Iklan
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan

IPOH - Polis menahan 11 lelaki bagi membantu siasatan kes serangan bersenjata yang menyebabkan seorang lelaki parah dalam kejadian di Taman Pengkalan Jaya di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan susulan kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.

Dalam kejadian pada 1 September lalu kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa berusia 26 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika berada di kandang lembu miliknya.

Iklan

Mohd Alwi berkata, lima suspek yang menaiki dua kenderaan telah bertindak mengejar mangsa sebelum menyerangnya menggunakan parang.

Mohd Alwi

Iklan

Menurutnya, mangsa cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kinta bagaimanapun ditetak oleh salah seorang suspek.

"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, tangan, kaki dan belakang badan.

"Mangsa kemudiannya dibantu orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada unsur dendam dan tidak puas hati melibatkan kumpulan jenayah terancang terhadap mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah terancang diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis melalui bilik gerakan atau mana-mana balai polis berhampiran.