SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu memastikan Skim LINDUNG 24 Jam benar-benar inklusif dan dapat dinikmati oleh semua pekerja tanpa mengira status pekerjaan.
Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh berkata, pihaknya menyokong usaha PERKESO memperkenalkan skim tersebut kerana perlindungan ketika berlaku musibah amat penting buat pekerja dan keluarga.
Bagaimanapun beliau berpendapat, inisiatif tersebut diharap tidak meminggirkan pekerja bebas dan gig yang kini merupakan sebahagian besar tenaga kerja dalam industri seni kreatif.
"Kadar caruman tambahan bukanlah isu utama, yang penting perlindungan sosial ini benar-benar inklusif dan dapat dinikmati semua pekerja.
"Bagi pihak Profima, ia pilihan yang baik terutamanya buat pekerja sepenuh masa kerana manfaatnya melengkapkan keperluan pencarum sekali gus meringankan beban keluarga," katanya.
Turut senada, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Low Boon Tat yang berpendapat, Skim LINDUNG 24 Jam mampu memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja dan keluarga.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi menerima bantuan PERKESO sekitar 10 tahun lalu disebabkan kemalangan dalam tempoh bertugas.
Katanya, skim terdahulu memerlukan siasatan terperinci bagi melayakkan dirinya menerima bantuan sambil menyifatkannya sebagai prosedur yang agak renyah.
"Berbeza dengan Skim LINDUNG 24 Jam kerana ia memberikan perlindungan di luar waktu kerja juga yang tidak berkait rapat dengan penggajian atau pekerjaan," ujarnya.
Skim LINDUNG 24 Jam menawarkan perlindungan menyeluruh bagi kemalangan tidak berkaitan pekerjaan.
Caruman skim itu diwajibkan secara mandatori kepada semua pekerja asing di Malaysia bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, skim berkenaan tidak diwajibkan dan hanya bersifat sukarela kepada pekerja tempatan berikutan kewujudan pelbagai skim perlindungan komprehensif lain yang disediakan PERKESO.