SHAH ALAM - Caruman tambahan 0.75 peratus ke dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Skim LINDUNG 24 Jam boleh dianggap sebagai kos perlindungan yang munasabah.
Mengulas dari perspektif pengurusan risiko, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kadar caruman tambahan itu sebagai relatif rendah berbanding tahap perlindungan yang bakal diperoleh pekerja.
Beliau berkata, ia satu inisiatif perlindungan sosial yang mempunyai nilai positif kepada pekerja dan keluarga, khususnya bagi mereka yang menghadapi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.
"MEF secara umumnya menggalakkan pekerja mempertimbangkan penyertaan secara sukarela atau opt-in kerana manfaat dan terma perlindungan 24 jam sememangnya memenuhi keperluan mereka.
"Pendekatan yang memberi pilihan kepada majikan dan pekerja juga lebih praktikal. Pekerja yang melihat nilai perlindungan tersebut boleh memilih untuk menyertai skim ini, manakala mereka yang mempunyai perlindungan alternatif atau kekangan kewangan boleh membuat keputusan untuk opt-out berdasarkan keadaan masing-masing.
"Kami tidak melihat 0.75 peratus sebagai satu kos tambahan semata-mata. Jika dibandingkan dengan risiko kewangan akibat kemalangan serius di luar tempat kerja, kos perlindungan tersebut adalah relatif kecil," katanya.
Bagaimanapun, Syed Hussain menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi penjelasan lebih terperinci mengenai manfaat Skim LINDUNG 24 Jam dalam kaedah yang lebih mudah difahami pencarum misalnya proses tuntutan serta terma dan pengecualian.
Beliau berpendapat, perkara tersebut mesti diberi perhatian kerana nilai sesuatu skim perlindungan bukan hanya terletak pada kadar caruman yang rendah.
Sebaliknya, menurut beliau, ujian sebenar adalah sejauh mana skim itu membantu pekerja dan keluarga ketika berlaku musibah.
"MEF berpandangan perlu ada ketelusan berterusan mengenai prestasi skim, jumlah pencarum, jumlah tuntutan, kadar kelulusan tuntutan dan jumlah manfaat yang sudah pun dibayar.
"Maklumat sedemikian membolehkan pekerja menilai secara objektif sama ada skim tersebut benar-benar memberikan value for money atau tidak.
"Dalam jangka panjang, MEF berharap Skim LINDUNG 24 Jam dapat menjadi satu mekanisme perlindungan sosial yang mampan, berkesan dan benar-benar memberi nilai terhadap pekerja," ujarnya.