KATHMANDU - Imej satelit mendedahkan bagaimana Sungai Trishuli berubah daripada aliran biasa kepada arus besar yang melebar sehingga enam kali ganda, selepas runtuhan batu dan ais mencetuskan banjir dahsyat di Nepal pada 26 Ogos lalu.
Beberapa analisis oleh NDTV berdasarkan imej dikeluarkan Vantor, Planet Labs PBC, Google Earth dan Google Open Buildings itu meneliti perubahan aliran Sungai Trishuli yang membawa sebahagian besar lumpur serta serpihan akibat bencana tersebut.
Dalam satu kenyataan, tentera Nepal memaklumkan peningkatan mendadak paras air menyebabkan kerosakan teruk di kawasan Timure dan Syabrubesi, daerah Rasuwa, kira-kira 125 kilometer dari sempadan Tibet.
Imej satelit turut memaparkan kesan kemusnahan dengan sebahagian besar perkampungan kini lenyap ditelan lumpur tebal.
Di Timure, sebuah bandar sempadan di daerah Rasuwa, utara Nepal, Sungai Trishuli didapati melebar lebih empat kali ganda daripada ukuran asalnya.
Lebar sungai itu meningkat kepada 350 meter (m) berbanding 78m sebelum banjir besar tersebut berlaku.
Di Syabrubesi pula, sungai yang sebelum ini selebar 65m melebar sehingga 300m. Arus deras dipercayai menghanyutkan hampir 300 rumah di kawasan tersebut.
Keadaan sama turut berlaku di Nuwakot, salah satu daripada tiga daerah paling teruk terjejas.
Di kawasan Chaupthoke, Sungai Trishuli melebar sehingga enam kali ganda, daripada 65m sebelum banjir kepada 443m selepas bencana.
Di Battar, daerah Nuwakot, Sungai Trishuli turut melebar daripada 91m kepada 309m selepas banjir. - Agensi