'Kerjasama Pas-BN bukan suka-suka, diputuskan Majlis Syura Ulama' - Tuan Ibrahim

Iklan
Tuan Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada Jubli Intan 75 Tahun Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Jumaat.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Sebarang kerjasama politik yang bakal dimeterai Pas termasuk dengan Barisan Nasional (BN) bukan dibuat secara suka-suka sebaliknya diperhalusi satu persatu sebelum diputuskan dengan panduan Majlis Syura Ulama, kata Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, pendekatan itu termasuk dalam soal pemilihan calon yang turut melalui semakan parti bagi memastikan mereka memenuhi pertimbangan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Tambahnya, Pas tidak meletakkan calon semata-mata berdasarkan keperluan pilihan raya, sebaliknya meneliti pelbagai aspek sebelum sesuatu keputusan dibuat.

"Dalam Pas, kita menyemak semua calon-calon kita. Lebih membanggakan ialah kerana kita dikawal, dipandu oleh Majlis Syura Ulama yang memandu parti dalam penegasan yang hendak buat.

Iklan

"Kita perhalusi satu per satu, kita meneliti satu per satu, kita semak semua aspek, lalu kita serah kepada panduan daripada Majlis Syura Ulama," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Jubli Intan 75 Tahun Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Tuan Ibrahim memberitahu, pengalaman Pas dalam beberapa kerjasama politik sebelum ini membuktikan pendekatan berkenaan tidak merugikan parti, malah pernah membawa kepada kejayaan menguasai beberapa negeri.

Iklan

"Bersama Angkatan 46 (Semangat 46), kita berjaya tawan Kelantan. Bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, kita kuasai Terengganu dan Kedah.

"InsyaALLAH kerjasama bersama rakan-rakan strategik parti termasuk BN,UMNO, kita yakin muafakat ini akan menguntungkan semua dalam menerajui kepimpinan bagi mengambil alih pentadbiran Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli Pas supaya tidak menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata untuk mencapai kemenangan pilihan raya.

Ujarnya, Pas terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, namun kerjasama itu tetap perlu berlandaskan prinsip serta perjuangan yang dibawa parti.

"Kita mengalu-alukan semua parti-parti, dengan prinsip kita bahawa kita tidak akan gadai prinsip perjuangan semata-mata untuk menang.

"Kalau sekadar nak menang, nak ambil pilihan raya, bergabung mana-mana parti, tak kira halal haram, tak kira dosa pahala, tak kira nasionalis atau bukan nasionalis, tak kira macam mana bentuk, tapi kita tidak," katanya.