Merusuh bersenjata depan sekolah: 10 lagi ditahan, jumlah tangkapan 23 orang

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kes pergaduhan depan sekolah.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 10 lagi lelaki tempatan menerusi beberapa siri serbuan di negeri ini dan Selangor bagi membantu siasatan berkaitan kes merusuh menggunakan senjata di hadapan SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam pada 29 Ogos lalu.

Tangkapan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 23 orang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, tangkapan terbaharu itu dibuat hasil risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan susulan 13 tangkapan awal.

Menurutnya, operasi dan serbuan berkenaan dijalankan bermula 30 Ogos hingga Jumaat.

Iklan

“Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 23 orang setakat ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, polis mengesahkan pergaduhan bersenjata itu dipercayai tercetus akibat salah faham berkaitan isu hutang dan melibatkan kumpulan menggunakan nama Geng 04.

Iklan

Siasatan mendapati hutang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.

Dalam pada itu, Dennis menambah, kejadian kira-kira jam 2.45 pagi tersebut melibatkan tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun.

“Dua mangsa diserang menggunakan senjata manakala seorang lagi dilanggar sebuah kereta.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan hutang selepas beberapa individu bertemu di sebuah medan selera di Paya Terubong,” katanya.

Menurut Dennis, hasil perkembangan siasatan, dua kertas siasatan telah dibuka berkaitan kejadian terbabit.

“Siasatan awal dijalankan di bawah Seksyen 148, 326 dan 120B Kanun Keseksaan manakala satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307, 148 dan 120B Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan risikan, rondaan, pemantauan dan operasi bersasar bagi membendung kegiatan pergaduhan berkumpulan serta jenayah kekerasan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

“Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Izzati Rohim di talian 013-4092884, Inspektor Mohamad Izhar Mohammad Sharifuddin di talian 016-9896944 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti individu bawah umur yang terlibat," ujarnya lagi.

Ends.