PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan terbabit kemalangan ketika sesi latihan bebas kedua (FP2) Pusingan Kelima Moto4 European Cup 2026 di Valencia, Sepanyol pada Jumaat.
Insiden di Litar Ricardo Tormo itu menyebabkan pelumba SIC-GRYD Racing berusia 14 tahun berkenaan tidak dapat meneruskan sesi berkenaan.
Menurut ZK Racing dalam kemas kini di platform rasminya, Qabil kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut.
“Semasa sesi 'Free Practice 2 Moto4 European Cup Round 5' yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, Qabil Irfan mengalami kemalangan dan tidak dapat meneruskan sesi tersebut.
Bagaimanapun, ZK Racing setakat ini belum mendedahkan butiran mengenai keadaan atau tahap kecederaan Qabil selepas insiden berkenaan.
Pasukan itu memaklumkan sebarang perkembangan dan maklumat rasmi mengenai keadaan pelumba terbabit akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi platform rasminya.
Pusingan Kelima Moto4 European Cup berlangsung di Circuit Ricardo Tormo dari 4 hingga 6 September ini, dengan Qabil kembali beraksi di litar yang tidak asing baginya selepas pernah mencipta kejayaan dalam saingan FIM MiniGP di Valencia.
Qabil sebelum ini mencuri perhatian dalam kempen sulungnya di Moto4 European Cup apabila meraih podium pertama dalam kejuaraan berkenaan selepas menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan Ketiga di Jerez, Sepanyol, di tempat ketiga.
Pencapaian tersebut menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu muncul antara pencabar yang diberi perhatian dalam saingan musim ini selepas turut mencatat keputusan kompetitif pada pusingan-pusingan terdahulu.
Sebelum ini, Qabil turut mencipta kejayaan besar pada musim 2025 apabila dinobatkan sebagai juara ESBK Talent, sekali gus membuka laluan untuknya beraksi dalam Moto4 European Cup 2026 bersama MLav Junior Team.
ZK Racing dalam pada itu memohon orang ramai agar mendoakan supaya segala urusan Qabil dipermudahkan dan perkembangan lanjut mengenai keadaannya akan disampaikan apabila maklumat rasmi diterima.