'Budaya angguk' dalam FAM perlu dihapuskan - Shahril

Iklan
Shahril. Foto: Agensi

CALON Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Shahril Mokhtar menggariskan empat teras utama dalam usaha membawa pembaharuan terhadap pengurusan badan induk bola sepak negara.

Empat teras itu merangkumi ketelusan, kepimpinan baharu, pemerkasaan ahli gabungan serta pembangunan akar umbi dan kelestarian kewangan ekosistem bola sepak negara.

Iklan
Iklan

Shahril berkata, pendekatan kepimpinan baharu yang mahu diperkenalkan turut melibatkan usaha menghapuskan budaya ‘angguk’ dalam FAM bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan pandangan dan pertimbangan yang sewajarnya.

“Kedua adalah kepimpinan cara baharu. Budaya angguk perlu dihapuskan kerana kita berada pada zaman moden dan generasi baharu tidak boleh lagi mengamalkan budaya seperti itu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Affin Bank Berhad dan Selangor FC di Menara AFFIN, TRX, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Shahril juga mahu hubungan FAM dengan ahli gabungan diperkukuh, selain memberi perhatian lebih besar terhadap pembangunan akar umbi yang disifatkannya perlu diperbaiki.

Iklan

Katanya, hubungan dengan ahli gabungan tidak seharusnya hanya diberi perhatian ketika menjelang kongres atau pemilihan apabila sokongan diperlukan.

“Ahli gabungan dan akar umbi perlu dititikberatkan. Selama ini saya lihat ketika kongres, kita nampak mereka minta undi, selepas itu tidak ada apa-apa. Jadi perkara ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Shahril yang juga tokoh korporat berusia 54 tahun itu turut meletakkan kelestarian kewangan sebagai agenda penting, dengan pendekatan yang tidak hanya melihat kedudukan FAM secara bersendirian.

Sebaliknya, katanya, keadaan liga, kelab dan ahli gabungan perlu dinilai sebagai sebahagian daripada ekosistem bola sepak negara yang saling berkait.

“FAM adalah badan induk bola sepak negara. Jadi perspektifnya tidak boleh melihat FAM sahaja, sebaliknya keseluruhan ekosistem termasuk liga, kelab dan ahli gabungan.

“Kalau ada rezeki dan terpilih, tempoh yang ada hanya sekitar dua hingga dua setengah tahun. Jadi saya tidak melihat manifesto untuk tiga, empat atau lima tahun,” katanya.

Beliau berkata fokusnya adalah terhadap langkah yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat bagi menghasilkan perubahan ketara dalam pengurusan bola sepak negara.

“Saya mahu fokus kepada perkara jangka pendek dan perubahan yang boleh dibuat dalam tempoh dua tahun untuk membetulkan keadaan kerana ini adalah titik paling rendah bagi saya dalam industri bola sepak negara,” katanya.

Shahril, yang mengakui dirinya sebagai calon ‘underdog’ berkata, pengalaman kira-kira 30 tahun dalam bidang korporat termasuk sekitar sedekad bersama Selangor FC menjadi antara asas keyakinannya untuk menawarkan diri menerajui FAM.

Menurutnya, perubahan juga memerlukan kesediaan membuat keputusan sukar, selain barisan pengurusan yang berkeupayaan termasuk setiausaha agung atau ketua pegawai eksekutif yang berkaliber.

Dalam tempoh kempen yang berbaki kira-kira dua minggu, Shahril akan mengambil pendekatan turun padang dengan bertemu pemegang taruh utama bagi menerangkan gagasan pembaharuan yang ditawarkan.

“Sentuhan peribadi sangat penting. Pagi ini saya sudah mula mengedarkan manifesto dan dalam tempoh dua minggu ini, Insya-Allah saya akan berjumpa pemegang taruh utama untuk berbincang mengenai idea pembaharuan FAM sekiranya saya terpilih,” katanya.

FAM semalam mengumumkan senarai calon yang disahkan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif bagi baki penggal 2025-2029, yang akan berlangsung sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 September ini.

Shahril akan berdepan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam perebutan jawatan Presiden, manakala beberapa jawatan lain turut menyaksikan persaingan membabitkan calon daripada persatuan bola sepak negeri dan kelab.

Perkembangan itu menjadikan pemilihan berkenaan sebagai medan untuk menentukan hala tuju baharu kepimpinan FAM bagi baki penggal berkenaan.