Tuah tukar acara, Syahida Asyiqin pahat rekod kebangsaan SUKIPT

Iklan
Syahida Asyiqin membaharui rekod kebangsaan dalam acara TK1 200m kayak wanita pada pusingan kelayakan, Selasa lalu. Foto: FB UPSI.

PERUBAHAN acara pada saat-saat akhir tidak menghalang atlet kayak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli daripada mencipta kejutan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Lebih menarik, atlet berkenaan bukan sahaja berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan, malah mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara TK1 200 meter (m) wanita pada pusingan kelayakan, Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Syahida Asyiqin merekodkan 56.30 saat (s), sekali gus memperbaiki rekod terdahulu 57.29s. Catatan itu turut disahkan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) sebagai rekod kebangsaan baharu bagi acara berkenaan.

Prestasi cemerlang itu kemudian diteruskan dalam perlumbaan akhir apabila Syahida Asyiqin meraih pingat emas dengan masa 58.50s, mengatasi wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).

Iklan

Bagaimanapun, kejayaan itu hadir selepas dia terpaksa mengubah perancangan asal apabila acara K1 200m yang menjadi sasaran utamanya digugurkan pada saat akhir.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira. Saya datang ke SUKIPT dengan sasaran untuk melakukan yang terbaik dan memang tidak menyangka dapat menutup kejohanan ini dengan kemenangan serta rekod kebangsaan baharu," katanya.

Iklan

Menurut Syahida Asyiqin, persiapan sebelum kejohanan pada asalnya lebih menjurus kepada usaha memperbaharui rekod K1 200m yang dilakukannya pada SUKIPT 2024.

Beliau berkata, latihan intensif dua kali sehari dijalani sebagai persediaan untuk mencapai sasaran tersebut sebelum perubahan acara memaksanya membuat persiapan baharu dalam tempoh singkat.

"Sebelum ini, saya berlatih keras dua sesi sehari untuk memperbaharui rekod K1 yang saya cipta pada SUKIPT 2024. Apabila dimaklumkan acara itu digugurkan pada saat akhir, saya terpaksa beralih kepada TK1.

"Proses penyesuaian itu cukup mencabar tetapi saya kekal fokus dan cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Pencapaian di SUKIPT 2026 itu turut meneruskan momentum Syahida Asyiqin di temasya berkenaan apabila dia berjaya mencatat rekod dalam dua edisi berturut-turut.

Pada SUKIPT 2024, dia terlebih dahulu memperbaharui rekod kejohanan bagi acara K1 200m sebelum mencipta rekod kebangsaan baharu dalam TK1 200m pada edisi tahun ini.