#Malaysia100: 'Buang topi’ politik, fikir masa depan Malaysia

Iklan
Nurhayati pada program Interviu bertajuk ‘#Malaysia100 Tahun: Masa Depan Negara Di Tangan Rakyat’ pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Rakyat perlu mengetepikan kepentingan politik, perniagaan dan kelompok masing-masing dengan melihat diri sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab terhadap masa depan negara menerusi gagasan #Malaysia100.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dalam memastikan Malaysia diwariskan dalam keadaan lebih baik kepada generasi akan datang.

Iklan
Iklan

"Siapa saja yang mengambil alih tampuk pimpinan dalam 30 tahun lagi, setiap kita bertanggungjawab, bekerjasama.

"Sebagai warga Malaysia, 'buang topi' sebagai ahli politik, 'buang topi' sebagai seorang ahli perniagaan. Tapi kita adalah rakyat biasa yang ingin menyelamatkan generasi kita dan mewariskan Malaysia yang lebih baik," katanya.

Iklan

Nurhayati berkata demikian ketika menjadi panelis pada program Interviu bertajuk ‘#Malaysia100 Tahun: Masa Depan Negara Di Tangan Rakyat’ yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Program turut menampilkan Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub

Iklan

Menurutnya, gagasan #Malaysia100 bukan milik ahli politik dan tidak semestinya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan semata-mata.

"Di situ yang kita kena lihat bagaimana visi-misi gagasan #Malaysia100 ini bukan milik ahli politik. Dan tak perlu pun kita semestinya meletakkan tanggungjawab itu kepada kerajaan.

"Jikalau kerajaan bersama dengan kita itu jauh lebih baik dan ia tidak semestinya pada 'government of the day,” tambahnya.

Nurhayati berkata, setiap rakyat tetap bertanggungjawab dan perlu bekerjasama tidak kira siapa sahaja yang mengambil alih tampuk pimpinan dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Menurut beliau, gagasan #Malaysia100 perlu dilihat sebagai satu misi bersama yang melibatkan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.

"Sebab itu saya katakan ini bukan satu misi yang boleh kita katakan kita selektif siapa yang hendak bawa," ujarnya.

Nurhayati menasihatkan, rakyat juga perlu melihat kedudukan negara untuk tempoh 30 tahun akan datang dan tidak hanya memberi tumpuan kepada keadaan semasa.

Beliau memberitahu, gagasan tersebut diwujudkan supaya rakyat memahami bahawa negara mempunyai satu sasaran jangka panjang, selain mengatur langkah bermula dari tahun pertama.

“Tujuan gagasan ini diwujudkan supaya kita mula mengatur bermula dengan satu tahun pertama. Kita jadikan satu dialog nasional untuk kita dengar pandangan-pandangan," kongsinya.

Justeru, beliau menyarankan, setiap rakyat perlu memikirkan bagaimana keadaan keluarga dan generasi akan datang dalam tempoh lima, 10, 20 tahun sehingga 30 tahun akan datang.

Tambahnya, persoalan sama turut perlu dilihat dalam aspek pendidikan, kesihatan dan ekonomi bagi memastikan generasi akan datang tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya mampu menjadi pencipta.

Menurut Nurhayati, gagasan #Malaysia100 akhirnya perlu mengembalikan tanggungjawab masa depan negara kepada rakyat sendiri.