SHAH ALAM - Kebimbangan melihat Malaysia seolah-olah berada dalam keadaan ‘time bomb’ akibat perbalahan politik dan isu perkauman menjadi antara pencetus kepada idea #Malaysia100.
Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, rakyat dilihat semakin penat melihat perbalahan sesama sendiri dalam isu kecil menimbulkan persoalan mengenai siapa yang sedang memikirkan masa depan negara.
Beliau berkata, kebimbangan itu turut dirasai dirinya yang kini berusia 72 tahun selepas melihat perkembangan Malaysia sejak sekian lama, khususnya apabila memikirkan nasib anak cucu pada masa depan.
“Sebenarnya kita semua ini sudah penat, kita penat dengan keadaan politik, keadaan rakyat bertelagah, berbalah sesama sendiri dalam isu yang kecil-kecil. Maknanya perkara yang remeh-remeh, yang remeh dan temeh itu dijadikan perkara besar perbalahan-perbalahan itu.
Beliau berkata sedemikian pada program Interviu bertajuk '#Malaysia100 Tahun: Masa Depan Negara Di Tangan Rakyat' yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Program turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin sebagai panelis.
Mengulas lanjut Hussamuddin berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada masih ada pihak yang benar-benar memikirkan perancangan untuk masa depan Malaysia.
"Apabila kita tengok, terutama saya seorang atuk yang sudah berumur 72 tahun, melihat bagaimana Malaysia ni berkembang dan juga jadi macam sekarang, mula bimbang tentang nasib masa depan anak cucu saya sendiri," ujarnya.
Justeru beliau berkata, #Malaysia100 dicadangkan sebagai satu gerakan rakyat untuk mengalihkan pemikiran masyarakat daripada perbalahan kepada usaha memikirkan masa depan negara.
Beliau berpandangan, setiap individu dan keluarga perlu mempunyai rancangan sendiri untuk tempoh 30 tahun akan datang dengan perubahan perlu bermula daripada diri sendiri.
Kongsinya lagi, #Malaysia100 juga akan menjadi platform untuk menghimpunkan rakyat daripada pelbagai kumpulan bagi membincangkan dan merangka gagasan masa depan negara.
Menurutnya, gerakan berkenaan perlu digerakkan secara organik oleh rakyat dan bukan kerajaan.
“Ini merupakan sebuah gerakan rakyat di atas kesedaran rakyat sendiri bagaimana kita membentuk masa depan kita.
Beliau berkata, satu 'proposal' kemudiannya dapat diserahkan kepada kerajaan pada 31 Ogos tahun depan hasil idea dan pandangan yang dikumpulkan sepanjang tempoh gerakan berkenaan.
Katanya, kerajaan dan Perdana Menteri boleh bertukar, namun rancangan serta gagasan untuk masa depan negara tidak seharusnya berubah.
"Jadi, kita serah kepada kerajaan untuk lakukan apa yang rakyat fikir terbaik untuk 30 tahun ke depan,” menurut Hussamuddin.
Beliau berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berintegriti, makmur dan harmoni apabila mencapai 100 tahun kemerdekaan.
“Pasal sekarang, kita sebenarnya duduk dalam macam 'time bomb', pasal semua benda, kemalangan pun dijadikan isu perkauman, jadi itu yang dibimbangkan.
“Jadi sebenarnya, #Malaysia100 ini merupakan sebuah jawapan kepada kebimbangan saya dan juga ramai orang tentang masa depan anak cucu,” katanya.