Pas Sabah gesa laksana MA63, mansuh subsidi bersasar

Iklan
Aliakbar semasa menyampaikan usul dan perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, pada Jumaat.

KOTA BHARU - Pas Sabah menggesa kerajaan melaksanakan sepenuhnya tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk mengembalikan 40 peratus hasil negeri itu, selain memansuhkan subsidi bersasar bagi bahan api.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, Sabah tidak memerlukan wang ihsan atau peruntukan khas, sebaliknya mahu hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau perkara itu termasuk hak 40 peratus atau dua perlima daripada hasil negeri Sabah yang diperuntukkan menerusi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

"Kita berharap, insya-ALLAH, ketika mana nanti kita akan memerintah Malaysia, perkara ini bukan perkara untuk dirundingkan tetapi perkara ini adalah untuk kita laksanakan bersama-sama," katanya.

Iklan

Beliau semasa menyampaikan usul dan perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Aliakbar turut menggesa kerajaan memansuhkan pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani bagi bahan api di Sabah.

Iklan

Ujarnya, pendekatan berkenaan perlu mengambil kira keadaan geografi dan demografi Sabah yang berbeza, selain kedudukan rakyat negeri itu yang masih memerlukan sokongan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

"Kita mohon kepada kerajaan bukan setakat menaikkan 200 ke 300 liter sama ada petrol ataupun diesel.

"Rakyat Sabah antara rakyat yang susah. Rakyat Sabah baru mahu bangun, berniaga, menghidupkan keusahawanan.

"Kita minta supaya Budi Madani atau apa jua namanya ditiadakan dan dihapuskan supaya minyak, harga minyak di negeri Sabah tidak ada lagi yang tidak bersubsidi, melainkan yang bersubsidi belaka seperti mana sebelum daripada ini," katanya.

Menurut beliau, keadaan muka bumi serta faktor demografi dan geografi Sabah menyebabkan rakyat negeri itu sangat bergantung kepada bahan api dalam menjalani kehidupan dan kegiatan ekonomi.