Penyatuan ummah mesti jadi agenda utama Pas

Iklan
Mohd Asri ketika membahas ucapan dasar Presiden Pas. Foto Facebook Mohd Asri Mat Daud

KOTA BHARU – Usaha penyatuan ummah melalui kerjasama politik perlu terus dijadikan agenda utama Pas bagi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan parti serta membuka ruang kepada pihak lawan meraih kelebihan.

Perwakilan Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, sejarah perjuangan parti membuktikan permuafakatan politik menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan Pas mentadbir negeri dan memperluaskan pengaruh di peringkat nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan, pengalaman kerjasama politik yang pernah dijalinkan Pas dengan pelbagai gabungan sebelum ini menunjukkan penyatuan mampu memperkukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Perpecahan hanya akan melemahkan kita serta membuka ruang kepada musuh politik untuk menjejaskan kekuatan yang telah dibina,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Jumaat.

Mohd Asri berkata, kejayaan Pas membentuk kerajaan di beberapa negeri pada pelbagai fasa sebelum ini tidak dapat dipisahkan daripada semangat permuafakatan yang berjaya diwujudkan bersama rakan-rakan politik.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan kepimpinan parti supaya terus memperkukuhkan hubungan dengan parti-parti yang berkongsi matlamat serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan tiga fokus utama yang perlu diberi perhatian bagi memperkukuhkan parti iaitu memperkasa tarbiah dan jati diri ahli, memperluaskan penguasaan medium penerangan khususnya dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Selainnya perlu memperkukuhkan walak dan ketaatan terhadap keputusan kepimpinan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jentera penerangan perlu bergerak lebih agresif dan bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Kelantan untuk terus mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam serta memperkukuhkan pelaksanaan syariat Islam di negeri itu.

Pada akhir perbahasannya, Mohd Asri mengemukakan cadangan supaya Ucapan Dasar Presiden Pas diterima dan disokong oleh para perwakilan.