KUALA LUMPUR - Malaysia kekal sebagai antara pasaran sumber pelancongan antarabangsa utama Taiwan dengan hubungan pelancongan kedua-dua negara terus diperkukuh sejak hampir 20 tahun lalu.
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Joseph Cheng berkata, sejak penubuhan Pejabat Kuala Lumpur pada 2007, pihaknya terus memperkukuh hubungan dengan rakan industri pelancongan Malaysia bagi memperluas pertukaran pelancongan.
Menurutnya, usaha berterusan itu membolehkan lebih ramai pelancong Malaysia menerokai pelbagai destinasi, pengalaman dan tarikan yang ditawarkan Taiwan.
"Melalui usaha sama industri pelancongan Taiwan dan rakan kongsi dalam sektor pelancongan Malaysia, pertukaran pelancongan antara Taiwan dan Malaysia terus dipergiatkan dari semasa ke semasa.
"Ini membolehkan lebih ramai pelancong Malaysia menerokai dan jatuh cinta dengan Taiwan," katanya sempena Majlis Penempatan Semula Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur ke Bangunan Equatorial Plaza, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut melancarkan Program Pemacu Dwi-Enjin Pelancongan bermula 1 September lalu sebagai langkah menggalakkan pelawat antarabangsa menerokai lebih banyak wilayah di Taiwan.
Inisiatif itu merangkumi program Bleisure Travel yang menggalakkan pelawat luar negara menggabungkan urusan perniagaan dengan aktiviti pelancongan.
Selain itu, insentif penginapan dipertingkatkan bagi kumpulan pelancongan insentif korporat luar negara yang menghadiri persidangan, pameran dan acara berkaitan perniagaan, khususnya untuk kunjungan ke kawasan selatan Taichung dan Taiwan Timur.
Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut meneruskan konsep Bawa Rakan ke Taiwan bagi menggalakkan pelancong Malaysia mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan berkunjung ke negara terbabit.
Tahun ini turut menyaksikan pelancaran kempen Pulang ke Taiwan, Gandakan Nasib Anda yang menyasarkan pelancong bebas yang pernah mengunjungi Taiwan untuk melakukan kunjungan berulang.
Kempen itu menawarkan pengalaman perjalanan lebih pelbagai, selain menggalakkan pelancong meneroka sisi berbeza Taiwan pada setiap kunjungan.
Mengulas mengenai perpindahan pejabat itu, Joseph berkata, perpindahan pejabat itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perkhidmatan, malah menjadi lembaran baharu dalam komitmen jangka panjang pihaknya terhadap pasaran Malaysia.
Beliau memberitahu, pihaknya akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan selain bekerjasama rapat dengan industri pelancongan Malaysia dan rakan kongsi daripada pelbagai sektor.
"Kerjasama ini bertujuan menggalakkan pertukaran pelancongan yang lebih pelbagai dan mendalam antara Taiwan dan Malaysia," tambah beliau.