SHAH ALAM - Dana kira-kira RM50,000 bagi menampung kos rawatan Ahmad Tarmizi Hazmee, 30, yang cedera parah dalam kemalangan di Indonesia kini sudah mencukupi hasil sumbangan orang ramai.
Abang sulungnya, Ahmad Bukhari Hazmee berkata, pihak keluarga amat terharu dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan sumbangan selain tidak putus-putus mendoakan keadaan Tarmizi.
"Setiap sumbangan, doa dan sokongan yang diberikan sangat bermakna buat kami sekeluarga.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang yang menghulurkan bantuan, mendoakan, berkongsi serta mengambil berat mengenai keadaan Tarmizi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, percutian lima sekeluarga rakyat Malaysia di Indonesia berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, Ahad lalu, manakala seorang lagi mengalami kecederaan kritikal dan kini dirawat dalam keadaan separa sedar di sebuah hospital di Jawa Barat.
Dalam kejadian itu, adik bongsu mereka, Muhammad Atiqullah, 22, maut dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Dunguswiru, Kecamatan Subang Kota, Indonesia pada hari sama dengan bantuan pihak kedutaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Bukhari menjelaskan, susulan jumlah dana yang diperlukan sudah mencukupi, kutipan sumbangan untuk Tarmizi dihentikan sepenuhnya.
Beliau turut memohon orang ramai supaya tidak lagi menyalurkan sebarang sumbangan selepas ini.
"Sebarang lebihan daripada kos rawatan akan kami infakkan," jelas beliau.
Ahmad Bukhari berkata, keluarga mendoakan agar setiap kebaikan yang diberikan semua pihak dibalas dengan rezeki yang luas, keberkatan dan ganjaran berlipat ganda.
Katanya, sokongan orang ramai menjadi sumber kekuatan buat keluarga dalam menghadapi ujian berkenaan.
"Terima kasih atas setiap kebaikan dan keikhlasan anda. Semoga Allah membalas semua dengan sebaik-baik balasan," tambah beliau.