SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dikenakan tindakan susulan didakwa membenarkan perbelanjaan RM2.1 bilion melebihi peruntukan diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi kesalahan sama yang boleh menjejaskan khazanah serta kestabilan kewangan negara.
Menurutnya, perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur dan tatacara kewangan sedia ada.
"Apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid secara langsung menggugat keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi.
"Tolong bayangkan betapa serius dan mudaratnya keadaan kewangan negara sekiranya semua kementerian kerajaan bertindak sedemikian rupa dengan membelanjakan wang sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira sama ada negara mampu atau tidak," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Guan Eng berkata, berdasarkan makluman Kementerian Kewangan sebelum ini, perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, pada 2024, kementerian berkenaan membelanjakan RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala perbelanjaan meningkat kepada RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion pada 2025.
"Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM2.1 bilion untuk tempoh tiga tahun 2023 hingga 2025 semasa KKDW di bawah Ahmad Zahid.
"RM2.1 bilion bukanlah satu jumlah kecil sedangkan ia tidak menjadi masalah untuk tahun-tahun sebelum 2023,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan pihak yang menerima manfaat daripada kontrak KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan kementerian melebihi peruntukan diluluskan.
"Adakah kontraktor-kontraktor tersebut dipilih mengikut peraturan atau kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka dan akauntabel?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan isu surat sokongan yang dikeluarkan kementerian selain Kementerian Kewangan, yang menurutnya telah diharamkan kerana boleh dianggap sebagai surat jaminan kerajaan tersembunyi.
Katanya, berdasarkan perundangan kewangan negara, hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid patut menunjukkan contoh seorang pemimpin yang berjimat cermat dan berhemah dan bukan sebaliknya.
“Jelas sekali Ahmad Zahid Hamidi telah membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan patut memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia,” tambah beliau lagi.