Agong perkenan isytihar darurat di Serian

Iklan
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dan Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut PMO, langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.

"Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai," katanya pada Jumaat.

Iklan

Serian antara kawasan paling terjejas akibat jerebu di Sarawak apabila kualiti udara terus merosot susulan pergerakan asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia. Keadaan itu menyebabkan asap merentasi sempadan dan menyelubungi beberapa kawasan di Sarawak, khususnya yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.

Keadaan di Serian semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen pemantauan IPD Serian melepasi bacaan 500 iaitu 521 pada jam 2 petang Jumaat, sekali gus berada pada tahap sangat berbahaya.

Iklan

Bacaan berkenaan menunjukkan kemerosotan ketara berbanding awal tempoh jerebu apabila Serian sebelum ini merekodkan bacaan tidak sihat dan kemudiannya melepasi paras 300.

Jerebu rentas sempadan itu dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di Indonesia, termasuk di kawasan Kalimantan, ketika negara berkenaan berdepan musim kebakaran yang semakin serius akibat keadaan panas dan kering.

Media melaporkan hampir 95,000 hektar kawasan terbakar di Indonesia pada Julai, manakala lebih 9,000 titik panas dikesan sepanjang Ogos, dengan Kalimantan antara kawasan yang terjejas.