MELAKA - “Arif harapan saya dan suami untuk menjaga kakaknya yang sindrom Down apabila kami sudah tiada nanti. Tak sangka dia pergi dulu.”
Demikian luahan Mazan Jaafar, 51, ibu kepada Muhammad Arif Daniel Nizamudin, 16, yang lemas ketika mencari ketam bersama rakannya di Pantai Klebang berhampiran Pangsapuri PRIMA Klebang Rabu lalu.
Mazan berkata, walaupun sedih dengan kehilangan anak bongsu daripada dua beradik itu, dia bersyukur jasad anaknya akhirnya ditemukan semalam dalam keadaan sempurna.
Pembantu am sekolah itu berkata, sehingga kini dia dan suami masih terkejut dan tertanya-tanya tujuan anaknya ke lokasi berkenaan kerana menyangka Muhammad Arif Daniel berada di kolej.
“Saya tak tahu apa tujuan dia ke sana. Yang saya tahu dia pergi ke kolej. Dia seorang yang pendiam. Kalau nak ke mana-mana, dia akan minta izin dulu.
“Tapi itulah, ALLAH nak uji saya. Masa dia pergi tu, dia tak ada cakap dengan saya atau beritahu ayah dia.
Sinar Harian melaporkan, kegembiraan dua sahabat mandi di Pantai Klebang bertukar cemas selepas seorang daripadanya dikhuatiri lemas dalam kejadian pada Rabu lalu.
Rakan mangsa, Hakeem Putra Mahadi memaklumkan, dia cuba membantu menyelamatkan Muhammad Arif Daniel namun tidak berjaya sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Mayat mangsa ditemukan nelayan berhampiran Pulau Upeh kira-kira jam 7.20 malam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selama dua hari, pada jarak anggaran dua batu nautika dari daratan.
Bercerita lanjut, Mazan memberitahu, Muhammad Arif Daniel sebenarnya boleh berenang walaupun tidak terlalu mahir namun dia tidak mengetahui situasi sebenar ketika kejadian.
“Sebenarnya dia bolehlah sikit-sikit berenang itu. Tapi mungkin keadaan laut bergelora... saya tak pastilah macam mana keadaan dia di sana. Hanya mereka berdua yang tahu macam mana keadaan itu,” katanya.
Dalam pada itu , dia berkata, pada hari kejadian, arwah yang merupakan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempat menyediakan sarapan nasi lemak untuk kakaknya berusia 26 tahun sebelum ke kolej.
“Saya ada rasa tidak sedap hati apabila menyedari beg dan dompet Arif masih berada di rumah. Saya kata, kenapa dia tak bawa beg dan dompet?
“Saya nampak beg dan dompet dia ada di rumah. Tapi saya tak fikir apa-apa ketika itu. Saya ingat mungkin dia bawa IC, sebab IC mesti ada dengan dia,” katanya.
Wanita itu memberitahu, kakak arwah juga seolah-olah memahami kehilangan adiknya apabila beberapa kali menyebut nama Muhammad Arif Daniel selepas kejadian.
"Sejak arwah tiada, kakaknya sering memandang keluar rumah dan pasti merindui satu-satunya adiknya itu," katanya.
Jenazah Muhammad Arif Daniel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rambai.