Petronas perkasa platform data huluan dengan Agentic AI, pacu pelaburan E&P

Iklan
Dari kiri: Ketua Pegawai Teknologi Iraya Energies, Francois Baillard; Ketua Pegawai Eksekutif Iraya Energies, Nina Marie Hernandez; Ketua Teknologi & Digital MPM, Ts. Shahril Ridzauddin Mokhtar dan Ketua Program Teknologi & Digital MPM, Arief Budiman Hermani pada majlis menandatangani perjanjian antara PETRONAS menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM) dengan Iraya Energies Sdn Bhd (Iraya Energies), baru-baru ini.

PETRONAS menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM) menandatangani perjanjian dengan Iraya Energies Sdn Bhd (Iraya Energies) bagi meningkatkan keupayaan PETRONAS myPROdata menerusi Agentic AI, sekali gus menyediakan pelabur dan pemain industri dengan maklumat berkaitan data eksplorasi dan pengeluaran Malaysia.

Inisiatif berkenaan bertujuan menyokong keputusan pelaburan yang lebih berinformasi, selain memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan huluan.

Iklan
Iklan

PETRONAS myPROdata merupakan platform berasaskan web yang menyediakan akses kepada data penting bawah permukaan dan permukaan berkaitan blok eksplorasi, peluang sumber yang telah ditemui serta lapangan pengeluaran di Malaysia.

Platform yang dipertingkatkan itu akan mengintegrasikan data geologi, geofizik, kejuruteraan dan data berkaitan lain dengan keupayaan Agentic AI yang boleh menganalisis serta menghubungkan pelbagai sumber data secara autonomi.

Iklan

Keupayaan berkenaan membolehkan pengguna menavigasi, menganalisis dan mendapatkan maklumat daripada data huluan yang kompleks dengan lebih cekap.

Ia juga menyokong penilaian menyeluruh dari hujung ke hujung, bermula daripada mengenal pasti kawasan berpotensi dan menilai sumber sehingga menilai peluang pembangunan serta daya maju komersial.

Iklan

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. (Dr) Bacho Pilong berkata, PETRONAS myPROdata yang dipertingkatkan dengan keupayaan Agentic AI akan membantu pelabur menavigasi dan menilai peluang huluan Malaysia dengan lebih pantas dan yakin.

“Dengan menghimpunkan data yang dipercayai dan kecerdasan berkuasa AI, kami berhasrat membolehkan keputusan pelaburan dibuat dengan lebih pantas dan berinformasi, sekali gus menyumbang kepada aspirasi PETRONAS untuk menarik kira-kira RM50 bilion hingga RM60 bilion dalam pelaburan huluan tahunan, selain memendekkan tempoh daripada penemuan kepada pengeluaran hidrokarbon pertama daripada 100 bulan kepada 50 bulan.

“Ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan huluan yang kompetitif dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah perjanjian berkenaan, Iraya Energies bertindak sebagai Ketua Penyepadu Konsortium (Consortium Lead Integrator) yang bertanggungjawab mewujudkan asas teknikal, komersial dan keselamatan yang diperlukan bagi menyampaikan maklumat berasaskan AI serta memudahkan pelaksanaan program secara lebih meluas.

Inisiatif itu turut mencerminkan peranan PETRONAS menerusi MPM sebagai pembentuk, pemangkin dan pengawal selia industri huluan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem pelaburan serta menyokong pertumbuhan berterusan dan pembangunan sumber hidrokarbon negara secara bertanggungjawab.