SHAH ALAM - Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) memberi jaminan akan menyelesaikan bayaran pengeluaran syer kepada anggotanya secara berperingkat dan mengikut penggiliran.
KPF berkata, pihaknya memahami keresahan anggota yang memerlukan pengeluaran syer bagi memenuhi keperluan kewangan untuk kelangsungan hidup.
Menurutnya, peningkatan mendadak permohonan pengeluaran syer dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini memberi tekanan kepada kedudukan aliran tunai KPF.
"Usaha-usaha sedang dilaksanakan dengan teliti dan berfokus bagi menstruktur dan melupuskan aset-aset pelaburan yang dikenal pasti bagi memenuhi tuntutan tersebut.
"Sebahagian usaha berjaya dimuktamadkan pada 2025 dan perolehan daripadanya dikembalikan kepada anggota bagi pembayaran pengeluaran syer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, ahli dan peneroka KPF dilaporkan menuntut empat perkara termasuk campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu bayaran jualan saham kepada ahli yang tertunggak sejak 2023.
Peguam, Afiq Asyraf berkata, majoriti ahli yang terjejas terdiri daripada warga emas, pesara dan balu peneroka yang tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.
Terdahulu, kira-kira 50 ahli dan peneroka KPF mengadakan demonstrasi aman dan mogok lapar di sini bagi menyuarakan nasib ribuan ahli yang terkesan akibat kelewatan pembayaran tebusan saham.
KPF mengakui masih terdapat permohonan pengeluaran syer yang belum dibayar.
Bagaimanapun, koperasi itu memaklumkan, pembayaran akan dibuat secara berperingkat mengikut penggiliran dengan keutamaan turut diberikan kepada kes khas dan kritikal seperti perubatan, pendidikan, hartanah dan keperluan haji, umrah serta agama tertakluk kepada kecukupan aliran tunai.
Dalam pada itu, KPF menegaskan, operasi perniagaan kumpulan kekal positif walaupun berdepan kekangan kecairan.
Menurut koperasi, prestasi itu disokong oleh pelbagai bidang keberhasilan termasuk perladangan, pelaburan korporat, hartanah, pasaran modal, Ar-Rahnu dan pembiayaan.
"KPF juga kini dalam proses pengagihan dividen tahun 2025 berjumlah RM102.10 juta," tambahnya.
KPF turut komited merealisasikan pelan rasionalisasi aset pelaburan secara strategik dan berperingkat bagi memperkukuh kedudukan kewangan serta memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi dan aktiviti perniagaan.
Jelas koperasi lagi, usaha berkenaan turut mengambil kira keperluan dan kepentingan anggota, khususnya dalam memenuhi permohonan pengeluaran syer.
“KPF merakamkan penghargaan atas kesabaran, kepercayaan dan sokongan berterusan semua anggota serta memberi jaminan bahawa pengurusan pembayaran pengeluaran syer akan terus dilaksanakan secara telus dan teratur,” katanya.