KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan isteri untuk mendapatkan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada pertuduhan pecah amanah serta pengubahan wang haram.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas peguam Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid, 75, dan Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 49, membuat permohonan itu pada pengurusan kes hari ini.
"Mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan dan pihak pendakwaan perlu menyenaraikan saksi untuk dipanggil memberi keterangan sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya dan menetapkan 20 November sebagai pengurusan kes.
Terdahulu, Jasbeer memohon DNAA terhadap pasangan suami isteri itu atas alasan pihak pendakwaan masih tidak menyerahkan dokumen penting berkaitan kes meskipun pertuduhan telah dikemukakan sejak setahun lepas.
Beliau berkata anak guamnya didakwa pada September tahun lepas dan sebanyak tujuh prosiding sebutan kes telah dijalankan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.
"Persoalannya sekarang ialah sama ada isu berkaitan bahan bukti telah diliputi di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah berhubung penyerahan dokumen. Pertuduhan tidak sepatutnya dibuat jika siasatan masih berjalan atau belum lengkap,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif memaklumkan pihak pendakwaan akan menyerahkan lima lagi jilid dokumen berkaitan kes itu kerana perlu berurusan dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
Dokumen itu, menurut beliau akan diserahkan sebelum perbicaraan bermula bagi memberikan masa secukupnya kepada pihak pembelaan membuat persediaan.
Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang milik syarikat berjumlah lebih RM458.5 juta yang diamanahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga berhadapan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.
Sementara itu, Noor Azrina didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama