KATHMANDU - Anggaran awal kos kemusnahan harta benda dalam kejadian banjir dahsyat di Nepal lebih seminggu lalu mencecah AS$3 bilion (RM12.1 bilion).
Ketua Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, Dharma Raj Upreti pada Jumaat berkata, kira-kira AS$52.6 juta (RM213 juta) diperlukan dalam tempoh empat bulan pertama untuk membina semula jalan raya dan tempat perlindungan sementara, menyediakan bekalan air bersih serta memulihkan bekalan elektrik.
"Penilaian terperinci tentang nilai sebenar yang diselaraskan dengan pelbagai agensi dan jabatan yang berkaitan akan dilakukan tidak lama lagi," ujarnya.
Kathmandu perlu membina semula kira-kira 20,000 rumah di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal - Wisma Putra
Sekurang-kurangnya 7,500 daripada rumah tersebut musnah teruk. Difahamkan, rumah yang kekal utuh juga tidak lagi boleh didiami
Bencana itu memusnahkan bandar dan kampung di kawasan lembah serta mengorbankan sekurang-kurangnya 1,252 orang manakala lebih 4,200 lagi masih hilang selain ribuan penduduk hilang tempat tinggal.
Ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai lebih 9,300 anggota tentera terus dipergiat di lokasi terjejas seperti Timure, Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Chitwan dan Nawalparasi Timur, beberapa keluarga telah mula mengadakan upacara persemadian secara simbolik.
Dalam tradisi Hindu, pembakaran mayat merupakan upacara terakhir yang penting. Bagi sesetengah keluarga, menjalankan upacara tanpa jasad sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada roh si mati.
Sementara itu, pihak berkuasa turut mengebumikan mayat yang tidak dituntut di kubur sementara sehingga identiti mangsa dikenal pasti.
Sampel DNA turut disimpan manakala gambar wajah dan maklumat pengenalan lain direkodkan untuk membantu proses mengenal pasti mangsa sebelum jasad diserahkan kepada waris keluarga.
Sementara itu, jurucakap Kabinet memaklumkan Perdana Menteri, Balendra Shah menetapkan Isnin ini iaitu hari ke-13 selepas bencana tersebut sebagai hari berkabung kebangsaan di Nepal. - Agensi