Cukai RM1.69 bilion, RM37.6 juta: Najib, anak berjaya tangguh prosiding bankrap

Iklan
Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin (kanan).

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berjaya dalam permohonan di Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat, untuk menangguhkan prosiding kebankrapan membabitkan tunggakan cukai masing-masing RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab memutuskan demikian selepas mendapati isu yang dibangkitkan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (KPCP) cukup serius untuk mewajarkan penangguhan.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan sebulat suara itu, Alwi berkata, penangguhan prosiding kebankrapan tidak akan menyebabkan atau menjejaskan kepentingan Kerajaan selaku responden.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu dan anak lelakinya, selaku perayu-perayu juga tidak akan mengalami sebarang kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki.

Iklan

Menurutnya, mahkamah rendah sebelum ini tidak meneliti isu berkenaan dengan sewajarnya ketika membuat keputusan sama ada prosiding kebankrapan perlu ditangguhkan atau sebaliknya.

“Prinsip di bawah Akta Cukai Pendapatan itu merupakan mekanisme untuk memastikan kutipan cukai dapat dibuat, namun ia tidak sepatutnya dianggap sebagai halangan mutlak kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicaranya jika kepentingan keadilan diperlukan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, walaupun merit sesuatu rayuan semata-mata tidak mencukupi untuk membolehkan penangguhan diberi, kerumitan serta keseriusan isu undang-undang yang dibangkitkan dalam kes ini membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menangguhkan prosiding.

Beliau berkata, mahkamah turut mengambil kira tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menarik balik dan kemudian mengeluarkan semula taksiran cukai terhadap Najib pada Mac 2019.

Menurutnya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dan kewajaran langkah yang diambil LHDN.

Mahkamah turut mendapati terdapat isu penting berkaitan pengiraan tuntutan cukai berjumlah RM1.69 bilion, termasuk cara bayaran balik sumbangan dan sejumlah dana lain dikira dalam taksiran tersebut.

Alwi berkata, LHDN sebelum ini menegaskan perkara itu wajar diputuskan oleh KPCP, tetapi pada masa sama prosiding kebankrapan terhadap Najib masih diteruskan.

Selain itu, panel berkenaan turut mengenal pasti satu isu baharu membabitkan pertindihan antara dana yang dikenakan taksiran cukai tambahan dengan wang yang menjadi subjek pertuduhan jenayah terhadap Najib.

Hakim berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada wang yang didakwa diperoleh secara tidak sah boleh pada masa sama dianggap sebagai pendapatan yang sah untuk tujuan percukaian.

Mahkamah juga mengambil kira banyak prosiding jenayah dan sivil yang sedang atau telah dihadapi bekas ahli politik UMNO terbabit.

Alwi berkata, jika perintah kebankrapan dikeluarkan, ia akan menyebabkan prosiding berkenaan terhenti secara automatik.

Beliau berkata, keadaan itu boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran keadilan serta melambatkan penyelesaian kes yang mempunyai kepentingan awam.

“Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November 2025 yang menolak permohonan perayu-perayu untuk penangguhan,” katanya sambil menambah responden perlu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada setiap perayu.

Dalam prosiding berkenaan, Najib hadir dengan diiringi pegawai Jabatan Penjara sementara Mohd Nazifuddin dikecualikan kejadian dengan diwakili peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wee Yeong Kang.

Pada 25 Jun 2020, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bayaran cukai tunggakan sebanyak RM1,692,872,924.83 manakala Mohd Nazifuddin, 43, berjumlah RM37.6 juta.

LHDN mendakwa tuntutan itu membabitkan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Pada 22 Julai tahun sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membayar cukai pendapatan tertunggak berkenaan kepada LHDN.

Hakim, Datuk Ahmad Bache yang kini telah bersara, membenarkan permohonan penghakiman terus LHDN terhadap dua beranak terbabit.

Penghakiman terus membolehkan mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, termasuk proses mendengar keterangan saksi.

Mereka kemudian merayu terhadap keputusan berkenaan untuk menangguhkan prosiding kebankrapan, sementara menunggu penyelesaian rayuan.

Najib dan Mohd Nazifuddin sebelum ini mencabar penghakiman terus yang dikenakan terhadap mereka, namun rayuan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan ditolak.

Susulan itu, notis kebankrapan dikeluarkan terhadap kedua-duanya.