Dua siri, satu persoalan besar dalam 'Pas Menakluk Putrajaya'

Iklan
Buku 'Pas Menakluk Putrajaya' Siri I dan Siri II karya Dr Kamarul Zaman Yusoff merupakan antara karya paling menarik yang diterbitkan bersempena ulang tahun ke-75 Pas. Gambar kecil: Misrinah

BUKU 'Pas Menakluk Putrajaya' Siri I dan Siri II karya Dr Kamarul Zaman Yusoff merupakan antara karya paling menarik yang diterbitkan bersempena ulang tahun ke-75 Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Kedua-duanya diterbitkan oleh Pustaka Qamar bersama Jabatan Arkib Pas Pusat. Tajuknya memang berani - Menakluk Putrajaya - tetapi kekuatan sebenar karya ini ialah ia tidak ditulis dalam bentuk sebuah manifesto kemenangan atau propaganda politik yang mengandaikan bahawa Putrajaya sudah berada dalam genggaman Pas.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, dua siri ini mengemukakan pertanyaan yang jauh lebih sukar, iaitu bagaimanakah Pas sampai ke kedudukannya hari ini dan apakah Pas benar-benar mempunyai keupayaan untuk melangkah daripada sebuah parti besar kepada sebuah parti pemerintah nasional?

Kata-kata aluan yang sendiri menjadi bahan bacaan penting.

Iklan

Menariknya, kedua-dua siri dibuka dengan kata-kata aluan lima tokoh penting, iaitu Pengerusi Perikatan Nasional, Presiden Pas, Ketua Penerangan PN, Ketua Penerangan Pas Pusat dan Pengerusi Jabatan Arkib Pas Pusat.

Kata-kata aluan ini bukan sekadar pelengkap penerbitan. Apabila dibaca bersama, ia menggambarkan beberapa aliran pemikiran yang sedang membentuk Pas pada usia 75 tahun.

Iklan

Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melihat kekuatan buku ini pada keupayaan penulis menghubungkan sejarah dengan masa depan. Beliau secara khusus menyebut asas penyelidikan akademik, dokumen rasmi parti, rekod mesyuarat, laporan pilihan raya dan wawancara tokoh penting.

Lebih penting, Samsuri menerima hujah buku bahawa cabaran Pas terhadap masyarakat bukan Melayu perlu bergerak “daripada penerangan kepada keyakinan”; keyakinan tidak cukup dibina melalui penjelasan ideologi, tetapi melalui keadilan, pentadbiran dan prestasi pemerintahan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula memberikan asas ideologi kepada keseluruhan perbincangan. Beliau menegaskan bahawa identiti Islam Pas tidak berubah meskipun pendekatan politik boleh berubah mengikut keadaan.

Pada masa yang sama, beliau menghuraikan pengalaman kerjasama Pas dengan pihak lain, termasuk bukan Islam, dalam batas prinsip yang diyakini parti. Aluan ini penting kerana ia membantu pembaca memahami satu ketegangan yang berulang dalam kedua-dua siri: bagaimana Pas boleh menjadi lebih pragmatik dan nasional tanpa kehilangan sebab asas kewujudannya?

Namun begitu, tulisan yang paling mencuri perhatian mungkin datang daripada Tan Sri Annuar Musa. Annuar tidak sekadar memuji buku tersebut. Beliau menggunakan ruang aluannya untuk menjelaskan mengapa beliau sendiri memilih Pas.

Pada pandangannya, ketahanan Pas berpunca daripada dasar perjuangan yang melampaui seorang pemimpin atau satu pilihan raya serta gabungan dakwah, tarbiah dan siyasah yang membentuk organisasi merentas generasi.

Tetapi beliau tidak mahu kekuatan ideologi menjadikan Pas kaku. Rumusannya sangat menarik, iaitu prinsip tanpa kebijaksanaan boleh menyebabkan gerakan menjadi kaku sedangkan pragmatisme tanpa prinsip boleh menyebabkan parti kehilangan arah.

Lebih signifikan, Annuar secara terbuka mengingatkan PAS tentang politik gabungan. Kerjasama tidak boleh bersifat sebelah pihak dengan menggunakan kekuatan rakan ketika lemah tetapi mahu menguasai segala-galanya apabila kuat.

Dr Kamarul Zaman turut menghasilkan Pas Menuju Putrajaya: Suara Kepimpinan dan Penilaian Sarjana.

Beliau juga mengingatkan bahawa angka 43 kerusi Pas selepas PRU15 masih jauh daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti Dewan Rakyat. Justeru Pas mesti memikirkan masyarakat bukan Melayu, bandar, Sabah dan Sarawak, golongan profesional, kelas menengah serta komuniti perniagaan.

Malah Annuar mengemukakan gagasan “pengayaan Pas” dengan menggesa penyertaan lebih luas ilmuwan, profesional dan teknokrat dalam ekonomi, kewangan, pendidikan, undang-undang, sains, teknologi, kesihatan, pertahanan dan diplomasi.

Baginya, sebuah “kerajaan menunggu” mesti mempunyai pasukan dasar dan kepakaran sektoral, bukan sekadar calon untuk memegang jawatan. Ini menjadikan kata aluannya hampir berupa sebuah esei strategi politik tersendiri.

Ahmad Fadhli Shaari pula memberikan sentuhan generasi. Beliau mengingatkan supaya sejarah dibaca dengan 'dua mata', di mana satu melihat ke belakang untuk mengambil ibrah dan satu lagi memandang ke hadapan. Generasi baharu, katanya, jangan sekadar menjadi “penjaga muzium sejarah”.

Sementara itu, Khairul Faizi Ahmad Kamil dari Jabatan Arkib Pas menekankan bahawa arkib ialah “memori sesebuah organisasi”; tanpa dokumentasi, sejarah mudah dilupakan dan akhirnya disalahfahami.

Siri I: Bagaimana Pas sampai ke sini?

Kekuatan Siri I ialah sifat sejarahnya yang luas. Ia bergerak daripada kelahiran Pas pada 1951, perkembangan tujuh dekad organisasi, Muktamar sebagai “parlimen dalaman”, dakwah-tarbiyah-siasah dan pembinaan struktur parti sebelum memasuki pengalaman pemerintahan Kelantan dan Terengganu, penyertaan dalam Kerajaan Persekutuan dan BN, krisis 1977 serta kemunculan Kepimpinan Ulamak.

Karya ini menjadi lebih menarik apabila sejarah tidak ditulis sebagai kronologi kemenangan sahaja. Kelantan 1990, misalnya, dibincangkan sebagai “makmal pemerintahan Pas”, tetapi penulis turut bertanya mengapa model sebuah negeri masih belum mencukupi untuk Putrajaya.

Pengalaman Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pula digunakan untuk membedah hubungan antara prinsip, undi, jawatan, dasar dan keperluan Pas mempunyai rakan politik.

Bab mengenai evolusi slogan daripada “Pas Untuk Semua”, “Islam Adil Untuk Semua”, “Negara Berkebajikan”, WINS, “Islam Memimpin” sehingga “Malaysia Sejahtera” juga sangat berguna. Ia membolehkan perubahan bahasa politik Pas dibaca sebagai sebahagian daripada proses peralihan daripada bahasa sebuah gerakan kepada bahasa sebuah calon pemerintah nasional.

Siri II: daripada sejarah kepada audit kesiapsiagaan

Jika Siri I menjawab bagaimana Pas sampai ke sini, Siri II pula bertanya apakah yang PAS mesti lakukan selepas sampai ke sini.

Fokusnya bermula selepas PRU14 bermula daripada hubungan PAS-UMNO, Muafakat Nasional, kejatuhan PH, kemasukan PAS ke Kerajaan Persekutuan melalui PN, pengalaman Menteri dan Timbalan Menteri PAS, seterusnya kegagalan MN menjadi formula PRU15.

Kemudian muncul angka yang menjadi nadi Siri II: 43 dan 112. Pencapaian 43 kerusi PAS pada PRU15 dianalisis bukan sekadar sebagai kejayaan elektoral, tetapi juga dari sudut pengundi muda, media sosial, geografi sokongan, kelemahan sokongan bukan Melayu dan matematik pembentukan kerajaan.

Di sinilah buku berubah daripada sejarah politik kepada sesuatu yang hampir menyerupai audit strategi pemerintahan. Penulis membicarakan WINS sebagai policy pipeline, kabinet bayangan, bench strength, ekonomi, pelaburan, pendidikan, kesihatan, institusi, dasar luar dan pertahanan. Malah WINS dicadangkan supaya dihubungkan secara sistematik kepada kertas dasar sektor, manifesto, belanjawan dan KPI.

Bahagian 2026 lebih menarik lagi kerana penulis menggunakan konsep teori rundingan seperti BATNA, atau Best Alternative to a Negotiated Agreement, untuk menilai pilihan pakatan Pas, membandingkan pengalaman Johor dengan Negeri Sembilan dan bertanya sama ada perubahan rakan politik benar-benar meningkatkan kuasa tawar Pas.

Buku juga tidak mengelak daripada “tembok-tembok” yang sukar: 112 kerusi, pengundi bukan Melayu, bandar dan separa bandar, Sabah dan Sarawak, kompetensi ekonomi, calon Perdana Menteri dan pasukan Kabinet serta keyakinan institusi dan perniagaan. Bahkan terdapat “Senario 122”, suatu simulasi politik yang digunakan untuk menerangkan opportunity cost of fragmentation dalam sistem first-past-the-post.

Sebuah karya politik yang serius sumbernya

Aspek paling meyakinkan tentang dua siri ini ialah asas sumbernya. Bibliografi tidak terbatas kepada buku mengenai Pas. Penulis menggunakan teks ucapan dasar Presiden PAS, Perlembagaan Pas, Rancangan Politik 1953, rekod Muktamar dari 1953 hingga 2025, minit Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Harian, Majlis Syura Ulamak, laporan tahunan serta laporan dan post-mortem pilihan raya.

Ia turut memasukkan manifesto APU, BA, BN dan Pas, Buku Jingga, Piagam Muafakat Nasional, tesis Sarjana dan PhD mengenai Pas serta kerjasama politik, sumber DOSM, Perlembagaan Persekutuan, data SPR, kajian lapangan PRN Negeri Sembilan dan analisis pilihan raya kontemporari.

Ini menjadikan Pas Menakluk Putrajaya bukan sekadar buku untuk ahli Pas. Ia mempunyai nilai kepada sarjana politik, mahasiswa, wartawan, penganalisis pilihan raya dan sesiapa yang mahu memahami evolusi salah sebuah parti politik paling lama bertahan di Malaysia.

Akhirnya, kekuatan terbesar dua siri ini ialah hubungan antara keduanya. Siri I ialah biografi politik sebuah gerakan manakala Siri II ialah pemeriksaan kesihatan sebuah kerajaan menunggu.

Buku yang pertama menerangkan bagaimana Pas membina daya tahan selama 75 tahun. Buku yang kedua bertanya sama ada daya tahan itu boleh ditukar menjadi kompetensi, pakatan, legitimasi dan pemerintahan nasional.

Sebab itulah tajuk Pas Menakluk Putrajaya sebenarnya sedikit mengelirukan, tetapi dalam cara yang baik. Buku ini bukan mengisytiharkan bahawa Pas pasti akan menakluk Putrajaya.

Sebaliknya, Dr Kamarul berkali-kali meletakkan Pas di hadapan cermin dan bertanya: Jika Putrajaya benar-benar terbuka, sudahkah parti ini mempunyai manusia, dasar, institusi, rakan, kompetensi dan keluasan jiwa untuk memerintah sebuah Malaysia yang jauh lebih besar daripada lingkungan penyokongnya sendiri?

Itulah yang menjadikan dua siri ini ilmiah, relevan dan sedap dibaca pada masa yang sama. Ia meraikan 75 tahun Pas, tetapi tidak berhenti pada nostalgia. Ia menukar sejarah kepada pelajaran, kemenangan kepada data, kerjasama kepada strategi dan cita-cita Putrajaya kepada satu ujian kesiapsiagaan.

**Sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 ini Pustaka Qamar menerbitkan lima buah buku. Selain, Pas Menakluk Putrajaya: Dari Parti Pembangkang ke Kerajaan Menunggu (Siri I) dan (Siri II) — Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff, tiga buku lain ialah:

1. Pas Menuju Putrajaya: Suara Kepimpinan dan Penilaian Sarjana oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff - harga muktamar RM40

2. Perjalanan Politik Pas: Prinsip, Kerjasama dan Percaturan dalam Politik Malaysia — Dr Nur Ayuni Mohd Isa — harga muktamar RM25

3. Mata Rantai Muslimat: Sejarah, Tarbiyah, Politik, Khidmat dan Pengorbanan Dewan Muslimat Pas Malaysia, 1952–2026 — Masthurhah Ismail — harga muktamar RM25

*Penulis ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)