SHAH ALAM – Syarikat yang menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bakal mendapat pengiktirafan menerusi Inisiatif Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai usaha menggalakkan lebih banyak syarikat melaksanakan kewajipan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar simbol penghargaan, malah boleh menjadi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat terbabit.
Katanya, syarikat yang membayar zakat perniagaan RM20,000 dan ke atas akan diberikan pengiktirafan mengikut beberapa peringkat bermula gangsa sehingga berlian bagi sumbangan RM1 juta dan ke atas.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Hi-Tea Bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di sini pada Khamis.
Majlis itu merupakan kerjasama kali kedua antara Zakat Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dalam mendekati pengeluar zakat khususnya sektor korporat dan usahawan.
Terdahulu, Tengku Amir berkenan berangkat ke majlis itu yang menyaksikan 44 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM11.48 juta kepada Zakat Selangor.
Pada majlis sama, YRMS turut menerima dana wakalah berjumlah RM400,000 iaitu masing-masing RM300,000 daripada Worldwide Holdings Berhad dan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad bagi menyokong program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia.
Majlis turut menyaksikan lima syarikat penerima inisiatif IKTIRAF iaitu D'Herbs Holdings Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd, Eskayvie Sdn. Bhd., Wawa Global Sdn Bhd dan V'Asia Health & Beauty menyerahkan produk masing-masing kepada Tengku Amir sebagai simbolik syarikat yang menerima pengiktirafan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir memberitahu, penggunaan label itu diharap memberi keyakinan kepada pengguna untuk menyokong produk syarikat yang melaksanakan kewajipan zakat.
"Apabila membeli produk yang dikeluarkan syarikat yang membayar zakat perniagaan, mereka sebenarnya turut membantu syarikat itu mengeluarkan zakat.
"Kita harap IKTIRAF menjadi daya penarik kepada usahawan untuk mula membayar zakat perniagaan," ujar beliau.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 44 syarikat sudah disenaraikan sebagai ahli IKTIRAF menerusi laman sesawang khusus inisiatif berkenaan.
Jelas beliau, sebanyak lima syarikat yang ditampilkan pula adalah antara syarikat dengan nilai bayaran zakat yang tinggi dan menjadi simbolik pelancaran rasmi IKTIRAF.
"Setakat ini kita sudah menjemput kira-kira 200 syarikat dan yang memberi maklum balas serta sudah melalui proses pendaftaran adalah sebahagian daripadanya.
"Kita akan melaksanakan proses ini secara berfasa dan sasaran kita adalah setiap syarikat milik Muslim membayar zakat perniagaan,” tambah beliau.
Mengulas sasaran kutipan zakat perniagaan tahun ini, Mohd Khaidzir berkata, Zakat Selangor kini berada pada landasan untuk mencapai sasaran RM234 juta.
"Kita juga bergerak melalui operasi di daerah dan berasaskan data untuk mendekati syarikat yang berpotensi menunaikan zakat perniagaan,” ujar beliau.