PERSAINGAN dua penjuru bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) antara Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar dilihat sebagai peluang untuk badan induk bola sepak negara itu meneroka pendekatan pengurusan yang lebih segar.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berpandangan, sudah tiba masanya FAM berani membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang mampu membawa perspektif dan pendekatan berbeza dalam mengemudi organisasi berkenaan.
Menurutnya, Shahril bukan sahaja mempunyai pengalaman dalam bidang bola sepak, malah latar belakang korporat serta pengalaman mengurus organisasi dan projek berskala besar menjadi nilai tambah yang boleh dimanfaatkan FAM.
"Datuk Seri Shahril bukan sahaja mempunyai pengalaman dalam bola sepak, tetapi yang lebih penting, beliau datang dengan latar belakang tokoh korporat dan pengalaman mengurus organisasi serta projek berskala besar," katanya.
Muzakkir berkata, pengalaman Shahril dalam sektor perbankan, pengangkutan, infrastruktur, dasar awam dan kepimpinan korporat mampu memberikan sudut pandang berbeza yang mungkin diperlukan FAM ketika ini.
Katanya, Shahril juga mempunyai pengalaman dalam bola sepak selepas pernah berada dalam struktur FAM sebelum kini memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
"Beliau juga bukan asing dalam bola sepak kerana pernah berada dalam struktur FAM dan kini memegang jawatan Timbalan Presiden FAS," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan terhadap Shahril tidak bermaksud menafikan pengalaman individu yang sudah lama berkecimpung dalam arena bola sepak, sebaliknya memberi pilihan kepada FAM untuk mempertimbangkan pendekatan pengurusan yang berbeza.
"Jadi, pemilihan beliau bukan bermaksud menafikan pengalaman orang lama. Tetapi kita perlu bertanya, adakah FAM mahu terus bergerak dengan pendekatan yang sama, atau berani memberikan peluang kepada wajah baharu dengan pemikiran dan pengalaman pengurusan yang berbeza?" katanya.
Pemilihan bagi baki penggal 2025 hingga 2029 itu dijadual berlangsung pada 17 September ini dan akan menentukan barisan kepimpinan yang menerajui FAM, selain memberi peluang kepada ahli gabungan memilih hala tuju badan induk bola sepak negara.
Selain perebutan jawatan presiden, beberapa jawatan lain dalam Jawatankuasa Eksekutif turut dipertandingkan.
Bagi jawatan Naib Presiden 1, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar akan bersaing, manakala Naib Presiden 3 menyaksikan Datuk Saaran Nadarajah dicabar Afizal Abu Othman.
Sebanyak tujuh calon pula bersaing bagi tiga kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif kategori persatuan bola sepak negeri, manakala lima calon merebut dua kerusi kategori kelab.
Masing-masing dua calon turut bertanding bagi satu kerusi kategori profesional dan satu kerusi kategori wanita.