KOTA TINGGI - Keadaan bentuk muka bumi Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, yang mempunyai alur menyerupai longkang dipercayai menjadi antara faktor empat pelajar dikhuatiri lemas di kawasan berkenaan.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, keadaan tersebut boleh menyebabkan arus menarik air dengan lebih kuat ke arah laut, khususnya ketika air laut surut.
Menurutnya, bentuk pantai yang melengkung juga berkemungkinan menyebabkan ombak yang menghempas pantai menghasilkan tarikan arus yang kuat ke laut.
“Di kawasan ini dipercayai terdapat satu alur seperti longkang di bahagian tengah pantai. Apabila ombak menghempas, tarikan arus ke arah laut mungkin menjadi lebih kuat.
“Keadaan ini berbeza dengan pantai yang landai kerana ombak lazimnya menghempas ke pantai sebelum air kembali ke laut. Namun, di kawasan ini, keadaan bentuk pantainya boleh menyebabkan air mempunyai tarikan lebih kuat ke arah laut,” katanya.
Mohamed Shafiee berkata, keadaan berkenaan mungkin tidak mudah disedari orang ramai, terutama individu yang tidak biasa dengan bentuk muka bumi dan corak arus di kawasan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat remaja dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai
Alif Taqiudin ditemukan lemas, tiga lagi rakan masih hilang
Empat remaja lemas: 'Kami tak tahu adik pergi berkhemah di pantai’
Empat remaja lemas: 'Rakan-rakan cuba selamatkan Thaqif, tak sangka bertukar tragedi'
Muhammad Adib barbeku sempena merdeka bersama keluarga sebelum hilang di laut
Empat remaja lemas: Jasad mangsa kedua ditemui nelayan
Tragedi lemas: Sokongan psikologi, kaunseling diberi kepada mangsa terselamat
Katanya, kejadian berlaku ketika air laut sedang surut, yang mungkin menyebabkan mangsa menganggap kawasan itu selamat untuk mandi kerana paras air tidak terlalu tinggi.
“Walaupun air sedang surut, mereka mungkin tidak mengetahui kekuatan tarikan arus ke laut di kawasan terbabit,” katanya.
Mengulas faktor cuaca, Mohamed Shafiee berkata, tempoh peralihan monsun yang sedang berlaku juga berkemungkinan menyebabkan keadaan ombak dan angin lebih kuat daripada kebiasaan.
“Kita sekarang berada dalam tempoh peralihan monsun dan tidak lama lagi akan memasuki Monsun Timur Laut. Keadaan angin serta ombak yang bergelora juga mungkin menjadi antara faktor.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan awal,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, Pantai Tanjung Lompat tidak dibuka kepada orang awam untuk aktiviti riadah dan kawasan itu hanya digunakan nelayan bagi turun ke laut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua daripada enam remaja berusia 16 tahun meninggal dunia dipercayai lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar.
Jasad Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor,16, ditemui terapung selepas laungan azan kedua.
Dua lagi mangsa, Muhammad Adib Hafiy dan Mohamad Haiman Fitri Supian belum ditemui manakala Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan, diselamatkan orang awam.